Cari @ Amanz

Elon Musk mempunyai visi menghantar manusia ke Marikh untuk tujuan mengkolonikan planet ke empat dari matahari. Tetapi sebelum ke Marikh, misi “jarak pendek” ke bulan perlu dilakukan bagi mencuba teknologi yang bakal digunakan. Semalam Elon Musk mula berkongsi rekaan terbaru roket BFR (Big Falcon Rocket) yang akan digunakan untuk misi ke bulan dan Marikh.

Sebuah kapal angkasa anda diletakkan pada hujung roket. Terdapat tujuh roket pada buritan kapal angkasa seakan Space Shuttle ini yang akan digunakan dalam perjalanan ke bulan. Menurut grafik yang dikongsi oleh SpaceX, perjalanan pergi dan pulang ke bulan ini akan mengambil masa sekitar seminggu. Perubahan rekaan dilakukan pada sayap dan penggunaan canard pada muncung kapal angkasa yang boleh dilipat apabila tidak digunakan.

Di dalam sidang media pengumuman misi ke bulan ini, Yusaku Maezawa diumumkan sebagai penumpang pertama. Beliau merupakan seorang hartawan yang mengasaskan laman e-dagang Zozotown. Yusaku Maezawa dan Elon Musk enggan berkongsi berapakah bayaran yang dikenakan untuk misi yang mensasarkan pelancaran pada tahun 2023. Sehingga lapan ahli seni (pelukis, jurugambar, ahli muzik, pengarah filem dan jurubina) akan dijemput untuk menyertai misi ini secara peribadi oleh Yusaku Maezawa.

Jika misi ini berjaya dilancarkan kelak, ia akan menjadi misi pertama manusia mengorbit bulan sejak misi terakhir Apollo 17 pada tahun 1972.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd