Cari @ Amanz

ASUS Memperlihatkan Siri Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 – Hadir Dengan Konfigurasi Penyejuk Berbeza

Oleh Nazrin

Link Copied!

NVIDIA baru-baru ini memperlihatkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti sehingga RTX 2070, dan kini ASUS, jenama pembina komponen dan peranti elektronik yang terkenal dari Taiwan dilihat memperkenalkan beberapa model kad grafik mereka sendiri berdasarkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070.

Model-model yang diperlihatkan oleh ASUS termasuklah siri ASUS ROG STRIX GeForce RTX 2070, ASUS Dual GeForce RTX 2070 dan ASUS Turbo GeForce RTX 2070. Ketiga-tiga kad grafik ini hadir dengan saiz dan sistem penyejukan yang berbeza, disamping palam-palam output video yang berbeza.

Kad grafik ASUS ROG STRIX GeForce RTX 2070 boleh dikatakan model kad grafik yang paling berkuasa diantara model-model yang diperkenalkan. Ia hadir dengan penyejuk DirectCUIII yang hadir dengan tiga buah kipas dan paip penyejuk yang mengalirkan haba daripada cip grafik ke bahagian kipas.

Sama seperti model-model kad grafik ASUS ROG STRIX sebelum ini, kad-kad grafik ini juga akan hadir dengan sistem penyalaan RGB AuraSync

Dari segi palam I/O, kad grafik tersebut dilengkapi dengan dua palam HDMI 2.0b, dua palam DisplayPort 1.4 dan sebuah palam USB Type-C yang menyokong sambungan VirtuaLink untuk peranti realiti maya. Ia menggunakan palam kuasa enam pin dan lapan pin untuk menggerakkannya, dan akan hadir melalui tiga model yang berbeza:

  • Asus GeForce RTX 2070 8GB ROG Strix Gaming OC (ROG-STRIX-RTX2070-O8G-GAMING
  • Asus GeForce RTX 2070 8GB ROG Strix Gaming Advanced (ROG-STRIX-RTX2070-A8G-GAMING)
  • Asus GeForce RTX 2070 8GB ROG Strix Gaming (ROG-STRIX-RTX2070-A8G-GAMING)

ASUS Dual GeForce RTX 2070 pula dilengkapi dengan sistem penyejuk dwi-kipas, tanpa sistem pencahayaan RGB, dan dimuatkan dengan palam-palam I/O seperti satu palam HDMI 2.0b, tiga palam DisplayPort 1.4b dan satu palam USB Type-C yang menyokong sambungan VirtuaLink. Sama seperti siri kad grafik ASUS ROG STRIX, siri kad grafik ini turut dikuasakan oleh palam kuasa PCIe 6-pin dan 8-pin.

Model-model yang akan diumumkan di dalam siri ini termasuklah:

  • Asus GeForce RTX 2070 8GB Dual OC (DUAL-RTX2070-O8G)
  • Asus GeForce RTX 2070 8GB Dual Advanced (DUAL-RTX2070-A8G)
  • Asus GeForce RTX 2070 8GB Dual (DUAL-RTX2070-8G)

Siri kad grafik ASUS Turbo GeForce RTX 2070 pula dilihat hadir dengan rekaan seakan-akan siri kad Founders Edition yang lama, yang hadir dengan sistem penyejukan satu kipas penghembus yang digunakan oleh NVIDIA sebelum ini.

Siri kad grafik ini boleh dikatakan siri kad grafik GeForce RTX 2070 yang paling asas daripada ASUS, dan boleh dikatakan yang paling mampu milik.

Untuk memastikan bahawa siri kad grafik ini masih mampu bersaing dengan kad-kad grafik yang lain, ASUS menguji setiap kad grafik ini dengan meletakkannya melalui ujian ketahanan selama 144 jam sebelum ia dijual di pasaran.

Siri kad grafik ASUS Turbo GeForce GTX 2070 ini hadir dengan sejumlah palam I/O seperti satu palam HDMI 2.0b, dua palam DisplayPort 1.4 dan satu palam USB Type-C yang menyokong sambungan VirtuaLink. Sama seperti kad-kad grafik yang lain, siri kad ini turut dikuasakan oleh satu palam kuasa PCIe 8-pin dan 6-pin.

Buat masa ini, pihak ASUS masih belum mengumumkan butiran seperti kelajuan GPU dan juga tarikh pelancaran dan harga untuk kad-kad grafik ini.


Komen ()