Kebanyakan syarikat besar akan mengadakan acara tahunan bagi berkongsi kemajuan teknologi mereka yang terkini. Jika Google popular dengan acara Google I/O, Apple dengan WWDC, Adobe dengan MAX dan AWS dengan Re:Invent, Alibaba pula kerap mengadakan acara The Cloud Computing Conference. Pada hari ini untuk tahun yang kesembilan Alibaba menganjurkannya, mereka telah mengumumkan kemaskini DAMO Academy.
DAMO merupakan singkatan kepada Discovery, Adventure, Momentum & Outlook dan inisiatif ini diumumkan bagi menggalakkan penerokaan dunia sains dan teknologi masa hadapan. Perkara-perkara seperti ciptaan bahan, farmaseutikal, logistik, dan sebarang subjek yang menerima manfaat dari kemajuan teknologi yang dihasilkan Alibaba akan diberikan penekanan.
DAMO Academy ini sehingga kini telahpun mempunyai 300 pengkaji di seluruh dunia, dan Alibaba telahpun bekerjasama dengan universiti terkemuka seperti University of California dan Stanford University di Amerika, Nanyang Technological University di Singapura, dan juga beberapa institut di China termasuklah The Chinese Academy of Sciences. Mereka mengkaji dunia mesin pintar, robotik, big data, teknologi kewangan, dan juga pengkomputeran kuantum (Quantum Computing).
Pengkomputeran Kuantum merupakan salah satu bidang kajian yang giat dijalankan. Jika komputer biasa melakukan pengiraan dan pemprosesan secara Binari, pengkomputeran Kuantum melakukan kiraan yang mengikut teori kuantum (quantum theory). Hal ini berbeza, dan memungkinkan pengiraan dan juga pemprosesan yang lebih pantas. Pasukan kajian DAMO Academy kini sedang membangunkan cip pemprosesan kuantum yang boleh melakukan pengiraan dalam bentuk multiple-qubit.
Jack Ma dalam berkongsi perancangan mengenai DAMO, turut menyatakan yang mana pentingnya generasi masa kini untuk memahami kepentingan menguasai dunia IoT yang bukan sekadar Internet of Things akan tetapi turut merangkumi Intelligence of Things.
- Ketahui: Alibaba DAMO Academy