AliNPU – Cip Neural Dari Alibaba Akan Hadir Selepas Pertengahan 2019

AliNPU – Cip Neural Dari Alibaba Akan Hadir Selepas Pertengahan 2019

Diterbitkan pada Sep 19, 2018 oleh .

Alibaba merupakan syarikat yang besar, yang boleh dikatakan dalam kelas konglomerat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan. Mereka mempunyai laman jual-beli, solusi bandar pintar City Brain, mekanisma pembayaran menerusi Ali Pay, dan turut mempunyai kemajuan teknologi dari segi pengecaman wajah, IoT, rantaian blok dan pelbagai lagi. Sejajar dengan misi mereka menerusi DAMO Academy, adalah perlu untuk mereka membangunkan cip pemprosesan mereka yang tersendiri.

Bagi merealisasikan projek ini, mereka telahpun menubuhkan syarikat yang akan membangunkan cip mereka yang tersendiri. Syarikat semikonduktor ini berpangkalan di Hangzhou, dan akan membangunkan cip pemprosesan yang menekankan kepada teknologi kecerdasan buatan.

Diberi nama AliNPU sebagai singkatan kepada Neural Processing Unit (NPU), cip yang dibangunkan oleh Alibaba ini adalah bertujuan untuk menggiatkan kajian mereka terhadap dunia pengkomputeran awan dan juga dunia peranti berhubung IoT. Cip yang dibangunkan ini juga boleh digunakan untuk kenderaan swapandu, pembangunan sensor-sensor yang terdapat pada Bandar Pintar dan juga perkhidmatan logistik. Sehingga kini, cip yang sedang dibangunkan mereka dapat melakukan pengiraan yang 40 kali lebih laju dari cip biasa yang terdapat pada peranti IoT mereka.

Cip AliNPU ini disasarkan akan siap selepas pertengahan kedua tahun 2019, dan dengan cip ini mereka dapat mengurangkan kos perkhidmatan pengkomputeran awan mereka memandangkan cip yang sama boleh digunakan pada pusat pelayan data mereka.


TIPS & ULASAN