Pengumuman penajaan Alibaba untuk sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telahpun diumumkan awal tahun lalu dimana Alibaba menjadi penaja utama sukan yang berprestij ini, seiring dengan jenama terkemuka yang lain seperti Samsung, Coca-Cola dan juga McDonalds. Pada acara Cloud Computing Conference hari ini, mereka mengumumkan kerjasama dengan Olympic Broadcasting Services.
Olympic Broadcasting Services (OBS)merupakan satu badan yang menyediakan kandungan sukan Olimpik kepada penyiar-penyiar rasmi televisyen seluruh dunia. Melaluinya, saluran televisyen atau mana-mana pihak yang ingin menyiarkan kandungan sukan Olimpik perlu menggunakan perkhidmatan ini, dan dengan kerjasama Alibaba Cloud, ia bakal memudahkan lagi penyiar rasmi mendapatkan kandungan sukan Olimpik.
Dalam kerjasama ini, pihak Alibaba akan menyediakan tindanan teknologi (Technology Stack) bagi membantu pihak penyiar mendapatkan kandungan video dengan pantas, malah tidak memerlukan pihak penyiar untuk hadir ke acara ini. Secara tradisionalnya, pihak penyiar rasmi perlu menghantar pasukan pekerja untuk membuat liputan di acara ini, yang mana ia mungkin memakan kos yang tinggi baik dari segi kewangan mahupun tenaga kerja.
Selain dari OBS dan Alibaba Cloud, pihak Intel juga akan menyokong kerjasama ini, dimana kesemua kandungan ini akan menggunakan infrastruktur yang dikuasakan oleh Intel Xeon Scalable Processors. Dan menurut Intel, kita mungkin bakal melihat sukan Olimpik dengan teknologi VR untuk tahun akan datang.