Carian
Pandang Pertama: OnePlus Bullets Wireless – Set Fon Telinga Nirwayar Dengan Kawalan Magnetik
September 20, 2018 Fahim Zahar

Bagi yang tidak tahu, OnePlus bukan sahaja mempunyai telefon pintar tetapi juga aksesori audio. Ia dimulakan dengan OnePlus E1+ JBL, kemudian OnePlus Silver  Bullets, OnePlus Icon dan OnePlus Bullets v2. Kini tahun 2018, buat pertama kalinya OnePlus hadir dengan set fon telinga nirwayar dalam siri BulletsBullets Wireless.

Dalam artikel ini adalah pandang pertama saya dalam menggunakan OnePlus Bullets Wireless ini sebagai set fon telinga harian saya.

Nyahkotak

OnePlus sedia terkenal dengan bungkusan aksesori audio yang kelihatan premium dan kemas. Bullets Wireless juga tidak terkecuali. Sebaik sahaja plastiknya dikoyak dan kotaknya dibuka, akan terpapar kerangka penyimpan yang mengandungi kabel USB-C merah OnePlus pendek dan kotak ‘Never Settle‘ yang mengandungi earbuds dan cangkuk tambahan.

 

Di bahagian sebelah terdapat Bullets Wireless itu sendiri dan beberapa buku kecil seperti maklumat keselamatan dan buku panduan pengguna.

Tambatan Ke Peranti

Sebaik sahaja Bullets Wireless dihidupkan dan bluetooth pada peranti OnePlus diaktifkan, akan terdapat notifikasi yang mengarahkan pengguna untuk terus tambatkan set fon telinga ini.

 

Akan tetapi, jika ditambat pada peranti Android lain – notifikasi seperti ini tidak akan terpapar dan pengguna perlu pergi ke tetapan bluetooth untuk teruskan membuat penambatan.

Rekaan

Pada kerangka driver set fon telinga nirwayar ini ia menggunakan aluminium yang kelihatan seperti plastik sekali imbas. Tetapi apabila ditenung dan perhatikan baik-baik, sebenarnya ia kelihatan lebih premium. Neck Rest dan wayarnya pula dibuat dari bahan tahan tegang (stretch resistant).

 

Pada salah satu wayarnya terdapat alat kawalan untuk main/hentikan media dan mengawal aras suara. Butang main/hentikan tadi juga turut berfungsi untuk menyeru Google Assistant dan melangkau media. Pada bahagian neck rest tadi terdapat satu port pengecasan USB-C. Kemudian, pada bahagian earbuds terdapat kawalan magnetik.

Pengalaman Penggunaan

Tidak dinafikan, Bullets Wireless mempunyai kualiti audio yang baik. Lebih-lebih lagi, ia menyokong Qualcomm aptX HD dan pengalaman pendengaran agak mengasyikkan. Saya cuba mendengar muzik melalui Spotify pada tetapan paling tinggi dan saya sangat berpuas hati. Kualiti audionya mengimbau kenangan sewaktu saya menggunakan OnePlus Icon pada dua tahun lalu.

Kawalan magnetik pada earbud ini pula boleh dikatakan agak menarik. Apabila ia disambungkan, media yang dimainkan akan berhenti dan apabila dipisahkan akan ada bunyi notifikasi dan media akan bermain semula secara automatik.

 

Tidak lupa juga, Bullets Wireless ini menyokong pengecasan pantas yang sangat pantas. Dengan menggunakan kabel yang disediakan (mirip kabel Dash, tetapi pendek), 10 minit pengecasan boleh bertahan selama 5 jam. Manakala apabila dicas sehingga penuh yang hanya mengambil masa 30 minit, ketahanan baterinya adalah 8 jam.

Kesimpulan

Selepas menggunakannya sepanjang hari, boleh saya katakan ia agak berbaloi untuk dimiliki. Lebih-lebih lagi peminat OnePlus. Kualiti audio yang baik, bungkusan premium, kerangka penyimpanan yang disediakan dan paling penting adalah sokongan pengecasan pantas yang adi-pantas.

Dengan kerangka penyimpanannya yang diperbuat dari bahan seakan getah dan juga bermagnet, ia mudah untuk dibawa ke mana sahaja. Selain itu, saiznya yang kompak dan mudah lentur ia muat untuk disimpan di dalam kocek atau dalam beg.

Bagi yang berminat untuk memilikinya boleh dapatkan dari pengedar beriktiraf Mi Han Sdn. Bhd. seperti Lazada, Shopee dan banyak lagi. Ia dijual pada harga RM429. Benar, harganya sedikit mahal. Banyak lagi set fon telinga nirwayar dengan kualiti audio yang lebih baik atau setara yang lebih murah – tetapi fokus OnePlus adalah untuk peminat mereka dan juga yang gemarkan pengecasan pantas.

Komen