Jika semalam kita telah mendengar mengenai Alibaba yang membangunkan cip neural AliNPU yang dikhususkan untuk sebarang projek berkaitan kecerdasan buatan, pada hari kedua acara The Computing Conference di China mereka telah berkongsi dengan lebih lanjut berkenaan kenderaan autonomi logistik mereka yang boleh menghantar barang iaitu L4.
Dibawah seliaan Alibaba AI Labs, kenderaan autonomi logistik mereka dibangunkan dengan integrasi bandar pintar City Brain yang turut dibangunkan oleh Alibaba. Menurut mereka, adalah penting untuk mempunyai jalanraya pintar dan dengan integrasi City Brain, sensor-sensor yang terdapat di bandar akan turut berkomunikasi dengan kenderaan ini, sekaligus membantu kenderaan ini melakukan keputusan yang penting.
Mengambil contoh jika terdapat kenderaan yang laju dan melanggar lampu merah, sensor pintar yang dipasang pada lampu isyarat akan mengesan kenderaan tersebut, dan menghantarkan maklumat kepada kenderaan autonomi ini, meskipun lampu hijau telah dinyalakan. Dibawah keadaan ini juga, ia secara tidak langsung menjamin keselamatan pejalan kaki dan tiada sebarang āfault-toleranceā dibenarkan.
Kenderaan autonomi logistik ini hadir dalam bentuk seakan van, tanpa sebarang ruang pemandu dan mempunyai paparan di kedua-dua belah kiri dan kanan yang membolehkan pengguna yang mahu menghantar barang berinteraksi dengannya. Terdapat integrasi TMall Genie, membolehkan arahan suara diberikan kepadanya.
Pihak AI Labs turut menyatakan yang mana tidak semua kawasan perlu dilengkapkan dengan solusi pintar ini. Mungkin hanya di bandar-bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai, memerlukan solusi pintar menyeluruh namun kenderaan autonomi logistik ini masih boleh pergi ke kawasan luar bandar tanpa masalah.
Mengakhiri pengumuman ini, mereka juga telah menerima kebenaran dari pihak berkuasa tempatan untuk mula menguji dua unit kenderaan autonomik logistik ini secara terus di jalan raya bandar Hangzhou.