Terdapat lebih daripada 50 juta lagu boleh distrim menerusi Spotify. Tetapi bagi peminat muzik di Malaysia, terdapat banyak album klasik pemuzik tempatan yang masih tidak boleh ditemui pada platform ini. Ini adalah kerana Spotify perlu berurusan dengan syarikat rakaman dan pemegang hak cipta terlebih dahulu.
Industri muzik telah berubah dan kini ramai pemuzik indie tidak terikat kepada syarikat rakaman. Bagi pemuzik seperti ini mereka kini boleh terus memuat naik karya terkini tanpa perlu melalui syarikat rakaman menerusi Spotify for Artists. Pemuzik yang memuat naik sendiri muzik akan menerima potongan keuntungan 50% dengan setiap lagu yang distrim yang kemudian royalti disalurkan terus ke akaun peribadi pada hujung bulan.
Tiada bayaran dikenakan dan pemuzik bebas memuat naik sebanyak mana karya yang dihasilkan tanpa had. Spotify berharap ini akan memberikan pemuzik kebebasan untuk berkarya dan bagi peminat pula dapat mendengar lagu terkini pemuzik kegemaran dengan lebih mudah. Fungsi ini masih di dalam peringkat Beta dan pemuzik perlu dijemput terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan fungsi ini.