Ulasan Samsung Gear Fit2 Pro – Penjejak Kesihatan Dengan Pelbagai Fungsi Menarik

Ulasan Samsung Gear Fit2 Pro – Penjejak Kesihatan Dengan Pelbagai Fungsi Menarik

Diterbitkan pada Sep 21, 2018 oleh .

Terdapat dua kategori utama peranti boleh pakai di Malaysia iaitu jam tangan pintar dan penjejak kesihatan. Di antara dua kategori ini, jam tangan pintar kini mencatatkan jualan tertinggi tetapi penjejak kesihatan ,masih dihasilkan bagi golongan aktif kerana lebih selesa dipakai ketika bersenam. Samsung Gear Fit 2 Pro dilancarkan tahun lalu dan mensasarkan golongan ini. Ia masih lagi ditawarkan tetapi adakah masih berbaloi dimiliki? Ini ialah ulasan ringkas kami untuk penjejak kesihatan dari Samsung ini.

Spesifikasi

Samsung Gear Fit2 Pro
Skrin 1.5″ SAMOLED (216 x 432 Pixel)
Pemproses 1 GHz Dua Teras Exynos 3250
RAM 512 Megabyte
Storan 4 Gigabyte (Hanya 2 GB boleh digunakan)
Kalis Air 5 ATM
Bateri 200 mAh
SIM/Telefoni Tiada/ Tiada
Sensor Pengimbas Nadi, GPS, Barometer,
Girometer, Accelerometer
NFC Tiada

Penjejak kesihatan ini dilengkapi skrin 1.5″ SAMOLED memanjang dengan resolusi 215×432 pixel yang mudah dilihat di bawah sinar matahari yang terik. Ini ialah factor yang sama seperti yang ditemui pada Fit2 dua tahun yang lalu. Malahan tidak melampau untuk mengatakan sekilas pandang sukar untuk membezakan kedua-dua penjejak kesihatan ini keran rupa yang terlalu sama. Yang membezakannya ialah tali jam yang berubah rekabentuknya.

Cip pemproses 1 GHz dua teras Exynos 3250 digunakan dan ini sekali ialah pemproses yang sama seperti pada Fit2. Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 512MB dan storan sebesar 4GB. Hanya 2GB sahaja boleh digunakan untuk storan kerana selebihnya telah diambil oleh fail sistem operasi dan aplikasi terbina. Sebuah bateri sebesar 200 mAh pula membekalkan kuasa.

Sensor yang disertakan ialah pengimbas nadi, GPS, girometer, barometer dan accelerometer. Ini membolehkan hampir kesemua aktiviti sukan dikesan dengan mudah dan tepat. Dari segi ketahanan air pula, ia boleh digunakan sehingga 5 ATM ataupun 50 meter. Ini membolehkannya dibawa untuk aktiviti renang. Ini adalah peningkatan yang ketara Fit2 Pro berbanding Fit2 sebelum ini yang tidak boleh menjejak aktiviti renang.

Terdapat sokongan bluetooth untuk tambatan pada peranti pintar dan aksesori audio seperti fon telinga. Dengan spesifikasi di atas, Fit2 Pro menyokong hampir kesemua fungsi pada sebuah jam tangan pintar kecuali sokongan panggilan telefon.

Rekabentuk

Dari segi rekaan, Gear Fit2 Pro mempunyai rekaan yang sama seperti model Gear Fit2 yang dilancarkan pada tahun 2016. Skrin AMOLED memanjang 1.5″ yang melengkung digunakan sekali lagi lengkap dengan sokongan sesentuh. Dengan penggunaan skrin ini, kami dengan mudah membaca apa yang dipaparkan pada skrin walaupun di bawah sinaran matahari yang terang.

Tetapi pada waktu yang sama skrin ini amat kecil. Pada beberapa muka jam terdapat ikon kecil untuk degupan jantung di atas ikon jumlah kalori. Kerap kali ikon pertama ingin ditekan tetapi kami tertekan ikon kedua. Elemen antaramuka yang kecil pada skrin kecil bukanlah kombinasi yang baik pada sebuah penjejak kesihatan dimana kejituan menggunakan skrin sesentuh adalah diperlukan,

Permukaan melengkung ini membolehkan Fit2 Pro dipakai dengan selesa sepanjang masa. Tubuhnya mengikut kontur pada tangan dan ini membuatkannya melekap kemas ketika melakukan aktiviti sukan. Kami mempunyai beberapa jam tangan pintar dan penjejak kesihatan di makmal peranti Amanz dan Fit2 Pro mungkin adalah yang paling selesa pernah kami ulas. Kerap kali ketika menaip kami terpaksa membuka peranti boleh pakai di tangan tetapi ini tidak berlaku pada Fit2 Pro. Ia juga hanya seberat 34 gram membuatkannya hampir tidak terasa seperti dipakai.

Tali yang disertakan diperbuat daripada bahan silikon lembut yang tidak menyebabkan kerengsaan kulit. Tidak seperti Fit2 sebelum ini, tali jam menggunakan sistem penyangkuk standard yang ditemui pada jam tangan biasa. Ini memastikan ia tidak mudah tertanggal ketika berenang. Ini menyelesaikan masalah kami dengan Gear Fit2 sebelum ini ialah sistem penyangkuk menggunakan lubang tebuk yang mudah tertanggal.

Bercakap mengenai tali, sebelum melakukan pembelian anda perlu memastikan ia adalah cukup panjang untuk tangan anda. Dua saiz ditawarkan ialah besar (158 ~ 205mm) atau kecil (125 ~ 165mm). Hanya sepasang tali disertakan dengan setiap pembelian. Pilihan tali rasmi dari Samsung adalah agak terhad kepada dua sahaja bergantung kepada model mana yang dibeli.

Dua butang navigasi diletakkan pada bahagian sisi kanan. Butang pertama ialah butang kuasa merangkap butang untuk memaparkan pelbagai fungsi dan aplikasi. Butang kedua yang lebih besar pula ialah butang back untuk kembali ke tetapan terdahulu. Navigasi masih boleh dilakukan dengan menatal pada skrin sesentuh tetapi dua butang navigasi ini memudahkan penggunaan terutamanya ketika sedang melakukan aktiviti.

Secara keseluruhan peranti ini amat selesa digunakan kerana saiznya yang kecil dan amat ringan. Kerana permukaannya yang dibulatkan, ia tidak mencengkam permukaan kulit sehingga menimbulkan ketidakselesaan dan ini adalah penting ketika melakukan aktiviti bersenam tanpa sebarang gangguan.

Antaramuka Dan Penggunaan

Sistem operasi Tizen digunakan dan ini membolehkannya ia ditambat kepada peranti pintar Android dan iOS menerusi aplikasi Galaxy Wearable (dulu dikenali sebagai Galaxy Gear App). Antaramuka amat minimalis. Sejurus selepas dihidupkan skrin utama yang menunjukkan waktu, jumlah tapak penjalan, kalori, degupan jantung dan jumlah tangga yang didaki terpapar pada skrin. Apabila menatal ke kanan terdapat pintasan untuk memulakan sistem penjejak aktiviti, mengambil degupan jantung, kalori dan banyak lagi. Susunan kesemua pintasan ini boleh diubah terus dari dalam Fit2 Pro.

Empat belas muka jam diberikan setiap satunya boleh dikustomasikan lagi dengan pilihan warna dan ikon yang ingin dipaparkan. Penukaran muka jam boleh dilakukan dari Gear Fit2 Pro atau menerusi aplikasi Gear Wearable. Lebih banyak muka jam boleh dimuat turun menerusi Galaxy App Store.

Tatalan ke kiri pula akan membuka skrin notifikasi. Pelbagai notifikasi dari peranti pinta yang ditambat boleh dihantar ke Fit2 Pro. Untuk mengawal apakah notifikasi yang boleh diterima, ia perlu dilakukan menerusi aplikasi Galaxy Wearables. Sebuah titik berwarna kuning akan terpapar pada skrin apabila notifikasi diterima. Seperti pada Galaxy Sports, kesemua notifikasi pada jam boleh diarahkan untuk dibuka terus pada skrin telefon  apabila diperlukan.

Apa yang kami sedari ialah sistem notifikasi ini mengurangkan keperluan kami untuk sentiasa memeriksa peranti kerana notifikasi yang dipaparkan kurang mengganggu. Bagi mereka yang mahu mengurangkan pergantungan kepada telefon pintar, Fit2 Pro bukan sahaja boleh menjejak kesihatan fizikal tetapi memulihkan “kesihatan digital” pemakai.

Selain memaparkan notifikasi aplikasi, Fit2 Pro turut boleh memberikan notifikasi panggilan telefon yang diterima. Tetapi tiada sokongan untuk menjawab atau melakukan panggilan telefon menerusinya. Fungsi ini nampaknya hanya diberikan oleh Samsung kepada jam tangan pintar mereka sahaja.

Peranti berfungsi dengan lancar sepanjang tempoh ulasan dan mampu mengesah kami sedang berjalan dan berlari secara automatik. Selain itu ia turut boleh menjejak aktiviti renang tetapi ia perlu diaktifkan secara manual oleh pengguna. Pengguna juga boleh menetapkan untuk mengambil bacaan nadi secara automatik sepanjang hari bagi melihat kadar degupan jantung ketika rehat. Kami tidak tahu berapa tepatkah bacaan yang diambil kerana tiada pengesahan dilakukan dan kami tiada akses kepada mesin EKG. Apa yang kami sedari ialah bacaan lebih rendah berbanding yang dilakukan menggunakan Gear S3 dan Fitbit Alta yang turut kami miliki.

Berikut ialah beberapa fungsi lain yang disokong oleh Fit2 Pro

Find My Gear – Mencari telefon pintar.

Quick Messages – Membalas mesej dengan pantas menerusi jawapan yang telah dipratulis.

Send SOS – Menghantar imej kecemasan dengan menekan butang kuasa 3 kali. Kepada siapa mesej dihantar juga perlu ditetapkan terlebih dahulu menerusi aplikasi Galaxy Wearable.

Audio

Kami jarang mengulas kemampuan audio pada sebuah penjejak kesihatan tetapi Fit2 Pro menyokong muat naik fail MP3 dan juga sokongan Spotify Offline, Audio kemudian disalurkan menerusi fon telinga atau fon kepala nirwayar yang dimiliki pengguna. Proses untuk memindahkan audio mengambil masa. Tetapi dengan storan sebesar 4GB (dengan 2GB sahaja boleh digunakan) banyak lagu boleh dimuat naik ke penjejak kesihatan ini. Kualiti audio hanya sederhana sahaja. Cukup baik ketika bersukan tetapi bukan untuk peminat audio yang elitis.

Kami ingin menyentuh tentang sokongan aplikasi Spotify Offline yang membolehkan lagu didengari secara luar tarian. Fungsi ini menarik tetapi aneh sekali aplikasi Spotify tidak terpasang pada peranti. Kami hanya menyedari ia disokong selepas membaca laman rasmi Samsung. Aplikasi perlu dimuat turun pada Gear Fit2 Pro dan pada peranti pintar sebelum fungsi ini boleh digunakan. Ini adalah masalah yang sama untuk kesemua aplikasi pihak ketiga yang disokong Fit2 Pro seperti Endomondo dan Under Armour. ‘

Benda yang agak menyusahkan kami ialah untuk melog masuk ke akaun dari skrin peranti. Skrin 1.5″ yang digunakan menyebabkan hanya papan kekunci T9 disertakan. Menaip alamat emel dan kata laluan adalah amat sukar dilakukan. Ia perlu dilakukan beberapa kali kerana terdapat juga masalah sambungan. Kenapa proses melog masuk ini tidak semudah dengan membaca akaun Samsung Pass yang sedia ada? Kami melakukan tambatan kepada sebuah Note 9 bagi memudahkan proses tetapi Samsung Pass tidak menyokong automatic login credentials pada Fit2 Pro yang dikeluarkan mereka sendiri. Jika Fit3 Pro dihasilkan, sistem melog masuk automatik menggunakan Samsung Pass PERLU disokong.

Bateri

Bateri sebesar 2oo mAh sahaja disertakan. Ia diiklankan mampu beroperasi sehingga lima hari pada penggunaan biasa atau hanya 9 jam sekiranya sistem GPS diaktifkan. Dalam penggunaan sekitar seminggu kami berjaya mendapat tempoh penggunaan purata hampir tiga hari.  Ini dengan kesemua notifikasi dari telefon pintar diaktifkan. Pada hemat kami ini ialah jangka hayat peranti boleh pakai yang memuaskan.

Untuk mengecasnya semula Fit2 Pro perlu diletakkan pada dermaga pengecasnya yang tersendiri. Ia adalah pengecas yang sama seperti Fit2 sebelum ini. Apabila di dalam dermaga, orientasi skrin terus berubah ke kedudukan melintang dengan hanya waktu dipaparkan. Penjejak kesihatan terus berfungsi seperti sebuah jam meja.

Tempoh pengecasan semula adalah sekitar sejam. Ini boleh dikatakan perlahan kerana bateri hanya sebesar 200 mAh tetapi waktu pengecasan yang perlahan untuk penjejak kesihatan ini adalah sesuatu turut ditemui pada pengeluar lain. Masih lagi misteri mengapa pengecasan pantas tidak disokong. Besar kemungkinan adalah untuk memanjangkan hayat kitaran pengecasan yang boleh dilalukan ke atas bateri.

Kesimpulan

Selepas setahun Gear Fit2 Pro masih lagi sebuah penjejak kesihatan yang kami rasakan menarik untuk dimiliki. Ia melakukan perkara asas menjejak trek perjalanan, jumlah tapak perjalanan dan aktiviti sukan yang lain. Pada waktu yang sama ia memberikan fungsi asas seperti notifikasi telefon pintar seperti yang ditemui pada jam tangan pintar yang dijual pada harga lebih murah.

Fit2 Pro amat selesa dipakai kerana ianya ringan, rekaan yang tidak tajam dan tali jam yang tidak merengsakan kulit. Sepanjang tempoh ulasan kami hampir terlupa kami memakainya kerana tidak dirasai di pergelangan tangan. Aktiviti dijejak dengan baik dengan pelbagai mod automatik yang mengesan apakah aktiviti yang dilakukan. Ia juga mampu bertahan sehingga lima hari, sesuai bagi mereka yang benci mengecas peranti dengan kerap.

Kekurangan yang kami temui ialah proses log masuk ke dalam aplikasi yang sukar kerana perlu menaip menggunakan papan kekunci T9. Saiz tali yang dibeli perlu ditetapkan ketika pembelian. Jika ukuran salah atau pengguna hilang berat badan dengan drastik, tali sekunder perlu diberi berasingan. Akhir sekali ialah pada harga RM749 ia masih lagi agak mahal. Di pasaran terdapat banyak penjejak kesihatan lain yang dijual pada harga jauh lebih mampu milik walaupun mungkin tidak mempunyai sokongan tambahan seperti paparan notifikasi dan audio bluetooth. Harga yang ditawarkan ini walau bagaimanapun masih lebih murah jika dibandingkan dengan jam tangan pintar di pasaran.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan yang menarik dan selesa mengikut kontur pergelangan tangan.
  • Skrin AMOLED senang dibaca di bawah sinar matahari terang.
  • Hayat bateri sehingga lima hari.
  • Sokongan GPS, borometer dan accelerometer.
  • Mengesan aktiviti sukan secara automatik.
  • Kalis air sehingga 50 meter dan kemampuan menjejak jarak renangan.
  • Memaparkan notifikasi dari peranti pintar.
  • Sokongan aplikasi popular seperti Endomondo, Speedo ON, Spotify dan Under Armour
  • Pilihan tali rasmi yang amat terhad.
  • Harga yang masih mahal selepas setahun di pasaran.
  • Proses melog masuk ke dalam akaun yang sukar kerana perlu menaip pada skrin kecil.
  • Pengecas khusus yang perlu dibawa. Tiada sokongan pengecasan nirwayar Qi.
  • Perlu muat turun aplikasi pada telefon pintar dan Fit2 Pro sebelum boleh berfungsi.


TIPS & ULASAN