Pelbagai perkhidmatan sosial menawarkan ciri perkongsian semula, seperti Facebook Share, mahupun Retweet pada Twitter. Namun, pada Instagram, tiada fungsi berkenaan, dan memerlukan penggunaan aplikasi pihak ketiga yang menerbitkan semula sesuatu gambar daripada akaun lain dan dikenali ramai sebagai “Regram”.
Menariknya, bagi pengguna yang gemarkan ciri berkenaan, kini ia dilaporkan yang mana Instagram sedang menguji fungsi tersebut. Fungsi berkenaan dikenali dengan nama “Seemless Sharing” buat masa ini dikalangan pembangun Instagram.
Menurut TheVerge, melalui ciri berkenaan, pengguna boleh berkongsi semula sesuatu perkongsian gambar melalui pilihan “Share to Feed”. Ia berfungsi seumpama “Retweet” pada Twitter, dimana perkongsian asal dipaparkan dengan nama pengguna yang berkongsi berkenaan dipaparkan pada bahagian atasnya.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada ciri ini akan dilancarkan secara rasminya ataupun tidak. Tetapi, memandangkan Instagram kini aktif memperkenalkan pelbagai sokongan baru, dan dengan ciri ini dalam pembangunan – kita mungkin mendengar lanjut mengenainya tidak lama lagi.