Cari @ Amanz

Pada perkongsian di acara The Computing Conference kelolaan Alibaba, AI Labs turut berkongsi yang mana mereka telah menambah baik sistem AliGenie mereka iaitu sistem operasi pelayan pintar seakan Siri & Google Assistant.

Menerusi AliGenie versi 3.0, pelayan pintar yang menggunakan sistem ini akan mempunyai kebolehan untuk mengesan kawasan persekitaran. Jika sistem ini digunakan pada robot yang bergerak, ia membolehkan robot tersebut bergerak dan mengetahui sekiranya terdapat sebarang halangan dan mengelakkannya, atau sekiranya terjatuh sewaktu bekerja.

Dan bagi mendemonstrasikan AliGenie 3.0, Alibaba Future Hotel diwujudkan yang mana di hotel ini akan terdapat pelayan pintar yang dipanggil Space Egg. Space Egg ini mempunyai rekaan seakan telur, dan mampu menerima arahan dari penginap hotel baik dari segi arahan suara, gerakan tangan dan juga menggunakan skrin sentuh.

Menggunakan robot Space Egg ini, pengguna boleh mengawal penghawa dingin, membuka langsir dan juga lampu, serta menetapkan saluran TV. Lebih dari kawalan bilik, pengguna juga boleh membuat panggilan, melakukan tempahan barangan asas yang biasa diperlukan seperti selimut atau sabun, dan juga boleh memuatkan beberapa tin minuman dan botol air. Robot ini boleh pergi dengan sendirinya ke bilik kawalan untuk mendapatkan semua barangan ini.

Menurut AI Labs lagi, mereka mencuba sistem ini pada hotel kerana untuk seorang penginap, terdapat ramai pekerja dibelakang tabir bagi memastikan keselesaan penghuni hotel. Dengan robot ini ia sekaligus dapat mengurangkan beban tenaga kerja dan menjimatkan masa.

Lanjutan dari Space Egg, mereka juga turut mempunyai robot Pembantu Jururawat yang dinamakan Space Shuttle. Robot ini berada dalam keadaan yang sentiasa steril, serta mampu membawa dan memberikan ubat kepada pesakit, membawa sampel darah sekaligus memudahkan tugas pembantu jururawat. Ia boleh membawa sehingga 60 barangan pada satu masa.

Dengan sistem terbaru AliGenie 3.0 ini, mereka juga akan membantu syarikat robotik dalam menggunakan sistem mereka, dan sekaligus dapat mengakses keupayaan AliGenie secara menyeluruh dalam mewujudkan dunia peranti berhubung.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd