Cari @ Amanz

Semalam kami melaporkan pembantu maya untuk kenderaan Echo Auto yang memintarkan sistem hiburan kenderaan. Pada waktu yang sama Amazon turut mengemaskini Echo Dot, Echo Plus dan Echo Show dengan rekaan baru untuk digunakan di tempat kediaman.

Echo Show baharu dilengkapi skrin 10″ dengan resolusi 800P dan sepasang pembesar suara 10W dengan sokongan Dolby Audio. Seperti model sebelum ini, Show boleh memaparkan resipi, menstrim video serta audio, melakukan panggilan video dan mengawal pelbagai peranti berhubung di rumah dengan kawalan suara Alexa. Tubuh kini mempunyai kemasan fabrik dan speaker diubah ke belakang.

Echo Plus baharu mengekalkan rekabentuk silinder model terdahulu tetapi kini mempunyai tubuh dari bahan fabrik seperti Echo Show. Speaker pintar dengan audio 360 darjah ini mempunyai kesemua fungsi Echo Show cuma tiada skrin untuk menstrim video. Ia ditawarkan dalam warna kelabu, putih dan hitam.

Akhir sekali ialah Echo Dot yang merupakan speaker pintar mini yang mempunyai kemampuan yang sama seperti Plus dengan sokongan Alexa. Pada model baharu speaker dikemaskini untuk audio yang lebih baik. Rekaan cakera hoki ais digantikan dengan rekaan lebih bulat dan kemasan fabrik. Ia hadir dalam warna kelabu, putih dan hitam.

Di Amerika Syarikat Echo Show dijual pada harga $229.99 (~RM 950), Echo Plus pada harga 149.99 (~RM 620) dan Echo Dot pula $49.99 (~RM 206).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd