Pocophone F1 boleh dikatakan merupakan salah satu telefon pintar yang mencuri perhatian ramai pengguna tempatan memandangkan ia menawarkan spesifikasi menarik seperti cip Snapdragon 845, memori 6GB RAM dan bateri berkapasiti 4000mAh pada harga sangat kompetitif, iaitu hanya RM1249.
Sejak dilancarkan, ia telah menerima reaksi positif, dan mula menjadi salah satu fokus ramai pengguna ketika mendapatkan peranti baru. Terkini, Xiaomi turut dijangka menawarkan Pocophone F1 Armoured Edition untuk pasaran tempatan seawal minggu ini.
Peranti ini dijangka diperkenalkan bersama ketika pelancaran Mi Store Sunway Pyramid yang dijadualkan pada hari Khamis, 27 September 2018 ini.
Berbeza dengan model biasa, ia menawarkan sedikit perbezaan dari segi rekaan kerangka luar, dimana ia dibina berasaskan Kevlar dan menjadikan rekaan peranti berkenaan sedikit menarik berbanding Pocophone F1 biasa.
Pocophone F1 Armoured Edition ini dijangka ditawarkan pada harga RM1599, dan ditawarkan dalam kuantiti yang terhad seawal 27 September ini. Beberapa sumber awal mengatakan ia akan ditawarkan dalam variasi model 6GB RAM dan 128GB storan dan bukannya 8GB RAM seperti dinantikan. Kita mungkin mendengar lanjut mengenainya dalam masa beberapa hari ini.