MIUI 10 telah mula diedarkan pada kebanyakan peranti popular Xiaomi seperti Xiaomi Mi 8, Xiaomi Mi MIX 2, dan Xiaomi Redmi Note 5. Ia menawarkan pelbagai pembaharuan, termasuk perubahan dari segi antaramuka, peningkatan prestasi, selain memberi penambahbaikan dari segi keupayaan kamera. Bagi yang menggunakan peranti Xiaomi terkini, berikut adalah beberapa perubahan dan fungsi menarik yang telah hadir pada iterasi MIUI 10.
Antaramuka “Recent Apps” Baru
Paparan recent apps kini telah membawakan paparan berasaskan berbilang aplikasi, seumpama yang dilihat pada sistem operasi BlackBerry 10 dan MeeGo. Ia memudahkan pengguna memilih aplikasi yang sedang berjalan, tanpa perlu menyeret satu per satu aplikasi yang dibuka seperti yang terdapat pada MIUI 8 dan 9. Dengan paparan ini, ia turut memudahkan pengguna yang menggunakan fungsi gesture membuat pertukaran aplikasi, dengan pemilihan aplikasi secara pantas.
Pembaharuan Pada Paparan Quick Settings
Paparan Quick Settings kini telah membawa perubahan baru sejak Xiaomi mengekalkan antaramuka yang sama dari MIUI 7. Ia kini kelihatan lebih moden, dengan tampilan antaramuka berasaskan warna putih. Paparan notifikasi juga telah diberi pembaharuan, yang kini kelihatan lebih teratur seperti yang dilihat pada iterasi Android terkini, Android 9.0 Pie.
Antaramuka Pelarasan Suara Menyerupai Android Pie
Apabila anda membuat kawalan suara pada MIUI 10, anda akan dapati paparannya kini hampir menyerupai kawalan suara pada Android 9.0 Pie. Paparannya juga diselarikan dengan antaramuka moden, melalui tampilan berwarna putih dan biru. Dari fungsi ini, anda juga boleh mengawal tetapan bunyi yang berbeza, seperti bunyi nada dering, media, dan bunyi penggera.
Kemaskini Antaramuka Pada Aplikasi Tersedia
Aplikasi tersedia seperti Weather kini tampil dengan antaramuka moden, yang kini lebih ringkas dan jelas untuk memaparkan informasi berkaitan suhu dan cuaca. Selain aplikasi weather, aplikasi Clock kini hadir dalam antaramuka gelap, selain aplikasi Security kini menawarkan perubahan font dan warna baru.
Penambahbaikan Fungsi “Full Screen Gesture”
Fungsi “Full Screen Gesture” telah hadir pada MIUI 9, namun fungsi yang ditawarkan hanya meliputi kepada kawalan menuju ke skrin utama, kawalan seumpama butang back, dan pertukaran aplikasi. Pada MIUI 10, Xiaomi telah menambah gesture untuk ke aplikasi sebelumnya, dengan hanya menyeret dari sisi (kiri atau kanan) skrin dan kemudian tahan seketika untuk menuju ke aplikasi tersebut. Anda juga boleh membuka “Action Menu” sesuatu aplikasi, dengan membuat isyarat leret pada bahagian sisi (kiri atau kanan) di bahagian atas skrin dan tahan seketika untuk membuka menu ini.
AI Portrait
Berita baik untuk pengguna peranti Xiaomi dengan sistem satu kamera, MIUI 10 kini membolehkan anda melakukan Portrait Mode pada aplikasi kamera. Ia dijayakan melalui kecerdasan buatan (AI), yang mana kesan kabur pada belakang subjek dilakukan melalui perisian. Menariknya, kebolehan ini tidak terhad kepada penggunaan kamera belakang sahaja tetapi turut boleh dilakukan pada kamera hadapan.
Berikut merupakan peranti yang menyokong fungsi AI Portrait pada MIUI 10:
Mi MIX 2 / Mi 6 / Mi 5s Plus / Mi 5s / Mi 5 / Mi Note 2 / Mi Max 2 / Mi Max / Redmi Note 5 (India) / Redmi Note 4 (India) / Redmi Note 4X / Redmi Note 3 / Redmi 5 / Redmi 4 / Redmi 4X
Mi MIX 2 / Mi 5s / Mi 5s Plus / Mi 5/ Mi Note 2 / Mi Max 2 / Mi Max / Redmi Note 4 (India) / Redmi Note 4X / Redmi Note 3 / Redmi 5 / Redmi 4 / Redmi 4X
Bunyi Notifikasi & Nada Dering Baru
Nada dering pada MIUI 10 kini telah membawakan tema baru yang kini menawarkan bunyi ke arah semula jadi. Sekiranya anda sudah memasang MIUI 10, bunyinya kedengaran lebih moden, selain memberi bunyi yang lebih segar berbanding iterasi yang sebelumnya.
AI Preload – Pembukaan Aplikasi Lebih Pantas
Salah satu pengoptimasian yang dititikberatkan pada MIUI 10 adalah sokongan pembukaan aplikasi yang lebih pantas. Apabila anda menggunakan MIUI 10, pembukaan aplikasi kini dapat dibuka dengan lebih pantas, melalui penyimpanan memori aplikasi secara pintar. MIUI 10 juga turut mempunyai sistem pengurusan cache aplikasi yang lebih baik, yang mana membantu untuk memberi kelancaran yang konsisten ketika menggunakan aplikasi dan permainan.
Bagi kami, MIUI 10 telah menunjukkan kematangan yang drastik pada MIUI, melalui pembaharuan antaramuka baru yang kini selari dengan Android Pie. Ia juga turut tampil dengan pengoptimasian pintar dari segi prestasi dan keupayaan AI Portrait untuk peranti Xiaomi dengan sistem satu kamera. Paparan pertukaran aplikasi dan sistem gesture turut diberi pembaharuan, yang kini lebih dioptimasikan untuk peranti berskrin penuh yang moden dan terkini.
Senarai peranti MIUI 10:
- Xiaomi Mi 8, Mi 8 SE, Mi 6, Mi 6X, Mi 5, Mi 5S Plus, Mi 5X, Mi 5C, Mi 4S, dan Mi 4C
- Xiaomi Mi MIX 2S, Mi MIX 2, dan Mi MIX
- Xiaomi Mi Note 3 dan Mi Note 2
- Xiaomi Mi Max 3, Mi Max 2, dan Mi Max
- Xiaomi Redmi Note 5, Redmi Note 5A, Note 5A Prime, dan Redmi Note 4/4X
- Xiaomi Redmi 5 Plus, Redmi 5, Redmi 5A, Redmi 4X, Redmi 4A, dan Redmi S2
MIUI 10 telah ditawarkan secara berperingkat bermula hari ini, yang mana ditawarkan pada peranti terkini Xiaomi selepas keluaran 2015 dan ke atas. Bagi anda sudah mengemaskini ke MIUI 10, apakah fungsi yang paling anda gemari pada iterasi kali ini?