Storan SSD Intel Optane ialah peranti storan yang biasanya digunakan oleh jenama-jenama pembina komputer untuk mempercepatkan kadar pembacaan data daripada cakera keras dengan menyimpan data-data penting dan sering digunakan didalamnya, tanpa perlu membelanjakan wang lebih untuk storan SSD yang lebih pantas.
Terkini, Intel dikatakan telah melancarkan model storan Optane mereka, yang dinamakan Intel Optane SSD 905p dan ia hadir dengan beberapa pilihan storan besar yang sangat sesuai bagi mereka yang melakukan tugasan komputer yang memerlukan storan yang pantas dan besar.
Dari segi storan, Optane SSD 905p ini hadir dengan tiga pilihan storan, termasuklah 480GB, 960GB dan juga 1.5TB, dan oleh kerana ia menggunakan cip storan 3D XPoint, ia mempunyai kadar pembacaan dan penghantaran data yang sangat pantas pada 2.7GBps dan 2.2 GBps.
Intel Optane SSD 905p ini juga hadir dengan dua pilihan rekabentuk storan, termasuklah model U.2 dan juga kad tambahan (Add In Card) yang biasa hadir untuk model-model komputer yang digunakan untuk rekaan industri, pengolahan dan sebagainya.
Buat masa ini, Intel masih belum lagi mengumumkan bilakah mereka akan mula menjual storan Intel Optane SSD 905p ini, dan juga tanda harganya.