Celcom hari ini telah mengumumkan kerjasama dengan pembangun rangkaian terkemuka, Ericsson. Melalui kerjasama ini, ia akan membantu Celcom dalam terus memperluaskan dan mengukuhkan liputan rangkaian LTE mereka, dan pada masa yang sama turut membina asas untuk Celcom kelak melancarkan perkhidmatan 5G.
Seperti ramai sedia maklum, sebelum ini, kedua-dua pihak telah melakukan percubaan awal untuk rangkaian 5G di Malaysia – dimana ia diuji pada gelombang 28GHz, sekaligus menjadikannya sebagai percubaan 5G pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Buat masa ini, fokus akan diberikan lebih untuk memperluas dan menaik-taraf rangkaian LTE Celcom di seluruh Malaysa. Langkah ini juga dijangka akan mengukuhkan kedudukan Celcom dalam memenuhi permintaan perkhidmatan data yang semakin meningkat dari hari ke hari oleh pengguna tempatan. Tetapi, pada masa yang sama, perkakasan RAN Ericsson juga dijangka akan membantu menyediakan platform asas untuk Celcom memperkembangkan rangkaian mereka kepada 5G pada masa akan datang.