Microsoft hari ini telah mengumumkan Office 2019 yang baru, dan bersama-sama dengannya, gergasi perkomputeran berkenaan turut memperkenalkan Microsoft Search.
Microsoft Search adalah salah satu perkhidmatan carian yang ingin memudahkan anda melakukan carian daripada pelbagai lokasi berbeza, dan menghimpunkan hasil carian pada satu lokasi. Microsoft Search buat masa ini menyokong carian melalui Windows 10, Office, Bing dan juga Edge.
Dengan penawaran ini, ia sekaligus memudahkan anda melakukan carian daripada pelbagai dokumen yang sedia terdapat pada komputer anda – dan menyelarikannya dengan pelbagai info dari web dan sebagainya.
Microsoft turut mengatakan mereka menambah-baik penawaran ini melalui penggunaan kecerdasan buatan.
Microsoft Search kini ditawarkan dalam bentuk pengenalan melalui Office, Bing dan juga aplikasi SharePoint. Ia dijangka akan diperluaskan kepada semua secara berperingkat tidak lama lagi.