Cari @ Amanz

Pemberian hadiah ganjaran kepada pelanggan-pelanggan perkhidmatan telekomunikasi bukanlah sesuatu yang baru. Malah, ganjaran yang diberikan oleh syarikat-syarikat ini boleh dikatakan cukup menarik sekali.

Pada hari ini, Digi telah mengumumkan ciri MyDigi Rewards yang boleh diakses melalui aplikasi MyDigi oleh kesemua 11.7 juta pelanggan Digi pra dan pascabayar di seluruh Malaysia.

MyDigi Rewards memberi para pengguna pelbagai ganjaran daripada 500 jenama, termasuklah jenama-jenama F&B, kedai atas talian, dan sebagainya. Selain dari itu, para pelanggan juga berpeluang memenangi kuota internet, panggilan tambahan dan sebagainya melalui Box of Surprises.

Dengan ciri MyDIgi Rewards ini, Digi turut memperkenalkan pangkat pengguna yang terdiri daripada pangkat Yellow, Gold dan Platinum, dimana dengan setiap kenaikan pangkat ini, para pelanggan Digi boleh mendapatkan lebih banyak ganjaran dan kelebihan tambahan, seperti pratonton ganjaran, akses awal untuk pra-tempahan peranti dan sebagainya.

Setiap satu ringgit yang dibelanjakan oleh pengguna Digi untuk membayar bil pascabayar atau untuk membeli top-up prabayar akan melayakkan mereka untuk mendapatkan satu Digi Point yang boleh digunakan untuk meningkatkan pangkat ganjaran mereka.

Untuk memudahkan lagi para pengguna Digi untuk menebus ganjaran-ganjaran ini, pihak Digi turut memperkenalkan ciri Near Me dimana pengguna boleh menggunakan sistem GPS untuk melihat kedai-kedai rakan Digi berdekatan yang boleh dilawati untuk menebus ganjaran MyDigi Rewards.

Menurut pihak Digi, mata ganjaran untuk pangkat Yellow ke Platinum ini dikira setiap enam bulan, dari Januari ke Jun dan dari Julai ke Disember, dan oleh kerana ciri MyDigi Rewards ini baru sahaja hadir, mereka telah menjejak perbelanjaan para pelanggan mereka dari Januari hingga ke bulan Jun, dan menetapkan pangkat ganjaran mereka berdasarkan perbelanjaan tersebut.

Ciri MyDigi Rewards ini boleh diakses melalui aplikasi MyDigi yang boleh dimuat-turun dari iOS App Store dan Google Play Store.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd