Acer, sebuah syarikat pembuat peranti komputer, laptop dan lain-lain baru-baru ini memperkenalkan siri paparan skrin terbaru mereka, Acer XZ1.
Siri paparan skrin Acer XZ1 ini hadir dengan dua saiz paparan, iaitu 27 inci dan 31.5 inci. Kedua-dua paparan ini menggunakan panel VA yang hadir dengan resolusi ultra lebar WQHD (2560×1440), kadar segar semula 144Hz, kadar tindak balas dan menyokong teknologi paparan AMD FreeSync.
Dalam pada itu, siri paparan Acer XZ1 ini juga boleh menunjukkan 85 peratus daripada gamut warna NTSC, dan hadir dengan sokongan untuk HDR10. Apa yang aneh di sini ialah paparan ini hanya mempunyai nilai kecerahan setinggi 300 nit, dan ini tidak mencukupi untuk menunjukkan butiran HDR yang sepatutnya disokong oleh paparan ini.
Dari segi sambungan, paparan ini dilengkapi dengan sambungan DisplayPort 1.2, Mini DisplayPort 1.2 dan dua palam HDMI 2.0. Ia juga mempunyai empat palam USB 3.0 Type-A, dan juga palam audio 3.5 untuk sambungan audio.
Buat masa ini, siri paparan Acer XZ1 ini boleh dibeli di Amazon pada harga $527 untuk model 27 inci, dan $550 untuk paparan bersaiz 31.5 inci.