Pada tahun 2015, Valve membenarkan para penggunanya untuk menggunakan pengawal permainan konsol bersama-sama dengan permainan komputer di Steam, yang turut hadir dengan sokongan untuk memetakan butang kawalan mengikut kehendak mereka.
Terkini, pihak Valve baru sahaja hadir dengan laporan yang menunjukkan bahawa terdapat 30 juta pengguna Steam yang menggunakan pengawal permainan konsol untuk bermain permainan komputer di Steam.
Valve turut menunjukkan carta pai yang memperlihatkan pecahan pengawal permainan yang digunakan berdasarkan jenama. Gabungan pengawal Xbox 360 dan Xbox One memperlihatkan sejumlah 40 juta pengawal permainan digunakan (satu pengguna boleh mempunyai lebih daripada satu pengawal permainan), manakala 16 juta pengawal permainan DualShock 3 dan 4 digunakan oleh pengguna Steam.
Apa yang menarik di sini ialah penggunaan lebih dari 450 ribu pengawal Nintendo Switch Pro yang dikatakan mempunyai peningkatan penggunaan paling cepat sekarang ini. Dalam pada itu, dikatakan bahawa hanya 1.5 juta pengguna menggunakan Steam Controller, tetapi ia merupakan pengawal yang digunakan pada jumlah permainan yang terbanyak di dalam senarai ini.
Valve juga mencatatkan penggunaan pengawal-pengawal permainan lain yang aneh seperti alat muzik Rockband, SNES, Gamecube dan sebagainya.
Jika anda seorang yang gemar bermain permainan komputer, adakah anda turut menggunakan pengawal permainan konsol untuk menggerakkan permainan tersebut? Apakah pengawal permainan kegemaran anda?