Carian
Nokia 6.1 Plus Berharga RM1149 Di Malaysia – Nokia 5.1 Plus Bakal Menyusul Oktober Ini
September 26, 2018 Arib Ismail

HMD Global pada sebelum ini telah melancarkan Nokia X5 dan X6 pada acara China dan kini mereka telah membawa masuk versi globalnya ke pasaran Malaysia. Pada satu acara yang berlangsung di ibu kota, HMD Global hari ini telah melancarkan dua telefon baru mereka, menerusi Nokia 5.1 Plus dan Nokia 6.1 Plus.

Nokia 6.1 Plus merupakan peranti kelas pertengahan dengan ciri-ciri premium, melalui rekaan kaca 2.5D pada bahagian hadapan dan belakang. Ia menampilkan rekaan skrin bertakuk pada saiz 5.8-inci IPS LCD pada resolusi Full HD+, cip Qualcomm Snapdragon 636, memori 4GB RAM, dan menawarkan storan dalaman 64GB bersama sokongan kad mikroSD.

Melengkapkan peranti ini adalah keupayaan kamera utama 16MP + 5MP, bersama kamera hadapan 16MP. Ia membawa beberapa fungsi menarik seperti Live Bokeh bagi membolehkan pengguna mengawal kekuatan kabur di bahagian belakang subjek, sewaktu mengambil atau selepas proses penggambaran. Ia kini turut menawarkan AR Stickers bagi membolehkan pengguna melekatkan animasi menarik pada gambar dan video yang diambil.

Sementara Nokia 5.1 Plus pula menawarkan identiti yang serupa, namun ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan. Ia termasuk dari segi bahan binaanya, yang turut diperbuat daripada kaca 2.5D pada bahagian hadapan dan belakang. Spesifikasinya hadir dengan rekaan skrin bertakuk pada saiz 5.8-inci IPS LCD pada resolusi HD+, cip MediaTek Helio P60, memori 3GB RAM, dan storan dalaman 32GB bersama slot kad mikroSD.

Dari segi penggambarannya, ia membawakan kamera utama 13MP + 5MP, bersama kamera hadapan 8MP. Ia turut menawarkan beberapa fungsi seperti Nokia 6.1 Plus seperti Dual-Sight Mode, Live Bokeh, dan AR Stickers untuk menjadikan hasil penggambaran menjadi lebih menarik.

Kesemua peranti yang dilancarkan ini turut menampilkan sambungan USB-C, termasuk Nokia 5.1 Plus. Perkara ini sekaligus menewaskan pesaingnya terdekatnya iaitu Xiaomi Mi A2 Lite yang masih menawarkan sambungan mikro-USB. Namun kedua-kedua peranti Nokia ini tidak lagi membawakan fungsi NFC seperti yang ditawarkan pada Nokia 3.1 sebelum ini.

Seperti peranti Android Nokia sebelum ini, kedua-dua peranti ini turut dijana dengan program Android One iaitu program yang memastikan peranti mendapat pengalaman Android terbaik. Ia menampilkan Android asli, disamping membolehkan peranti menerima kemaskini Android terkini dengan pantas. Menariknya, HMD Global turut memaklumkan bahawa dua peranti yang dilancarkan hari ini bakal menerima kemaskini Android Pie tidak lama lagi.

Nokia 6.1 Plus telah ditawarkan di Malaysia pada harga RM1149 dan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan biru. Sementara Nokia 5.1 Plus pula bakal dibawa ke pasaran tempatan sekitar pertengahan Oktober ini pada harga yang akan diumumkan kelak.

Komen