Carian
Penyelidik Tencent Disaman Di Singapura Kerana Menggodam WiFi Hotel Dan Memuat Naik Kata Laluan Ke Internet
September 27, 2018 Nazrin

Seorang penyelidik Tencent yang berasal dari China baru-baru ini telah disaman oleh kerajaan Singapura kerana beliau telah menggodam WiFi sebuah hotel di negara tersebut, dan memuat naik pelbagai kata laluan di laman web beliau secara terbuka.

Penyelidik tersebut yang bernama Zheng Dutao datang melawat Singapura untuk menghadiri acara Hack In The Box dimana penyelidik sekuriti dan penggodam hadir untuk membicara dan menunjukkan teknik-teknik godaman terbaru dan juga cara-cara mencegah masalah sekuriti.

Zheng, yang menginap di Hotel Fragrance di bandar Singapura telah menggodam rangkaian WiFi hotel tersebut melalui peranti Antlabs IG3100 yang mengawal rangkaian WiFi tersebut. Peranti tersebut dikatakan menggunakan kata laluan tersedia yang tidak diubah apabila ia mula-mula digunakan.

Dia kemudiannya meningkatkan tahap aksesnya, dan menemui kata laluan MySQL yang digunakan untuk mengakses pangkalan data yang mengandungi kata laluan untuk pelbagai sistem di dalam rangkaian hotel tersebut.

Godaman tersebut dilakukan oleh Zheng tanpa pengetahuan pihak pengurusan hotel tersebut, dan selepas godaman tersebut dilakukan, dia melaporkan penemuannya di sebuah laman blog. Walaupun tiada kerosakan dilaporkan berlaku kepada rangkaian WiFi tersebut, Maklumat-maklumat yang dimuat naik kepada laman blog tersebut, seperti pangkalan data SQL dan kata-kata laluan yang tertera tidak dipadamkan terlebih dahulu.

Pihak Cyber Security Agency of Singapore (CSA) menjumpai laman web tersebut, dan memaklumkan mengenai kerentanan tersebut, dan Zheng Dutao kemudiannya ditangkap oleh kerajaan Singapura kerana kesalahan menggodam dan memuat naik maklumat sensitif ke internet.

Beliau kemudiannya disabit kesalahan di mahkamah Singapura, dan disaman sebanyak S$5000 (RM15000). Zheng juga dikira beruntung kerana jika beliau disabit kesalahan menggodam untuk tujuan hobi dan suka-suka, beliau boleh juga dipenjara selama 10 tahun dibawah undang-undang Singapura.

Komen