Pengganti Cip Grafik AMD Selepas Navi Mungkin Dinamakan ‘Arcturus’, Hadir Dengan Rekaan 7nm+
AMD

Pengganti Cip Grafik AMD Selepas Navi Mungkin Dinamakan ‘Arcturus’, Hadir Dengan Rekaan 7nm+

Diterbitkan pada Sep 27, 2018 oleh .

Nampaknya pengganti cip pemprosesan grafik AMD Navi baru sahaja diperlihatkan, dan ia dikatakan akan hadir dengan kod nama ‘Arcturus’, yang turut berdasarkan nama bintang, selepas Polaris, Vega dan Navi.

Kad grafik yang hadir di pasaran sekarang ialah AMD Radeon Vega yang menggunakan binaan 14nm. Penggantinya, yang diberikan kod nama Navi bakal menggunakan cip yang direka dengan binaan 7nm yang lebih kecil untuk memuatkan lebih banyak transistor diatasnya, dan ini membolehkan prestasi kad grafik akan datang tersebut ditingkatkan.

Sebuah laporan dari laman web berita mengenai perkakasan sumber terbuka¬†Phoronix menyatakan bahawa AMD telahpun mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan kod nama ‘Arcturus’ untuk pengganti cip grafik Navi.

Tiada butiran mengenai cip grafik Arcturus ini diperlihatkan, tetapi terdapat kemungkinan bahawa ia akan menggunakan proses 7nm+, sebuah penambahbaikan sedikit daripada proses 7nm, berdasarkan slaid persembahan yang diperlihatkan sebelum ini.

Menariknya, cip grafik Navi dikatakan hanya akan hadir secara besar-besaran menjelang 2019 atau 2020 kelak, jadi kebarangkaliannya cip grafik Arcturus ini hanya akan diperlihatkan sekitar 2021 ataupun 2022 kelak.


TIPS & ULASAN