Lenovo ThinkPad P1 Dan P72 Kini Di Malaysia Dengan Harga Bermula Dari RM 8719

Lenovo ThinkPad P1 Dan P72 Kini Di Malaysia Dengan Harga Bermula Dari RM 8719

Diterbitkan pada Sep 28, 2018 oleh .

Komputer riba adalah peranti penting dalam perniagaan. Dengan kemajuan teknologi semasa, sebuah komputer workstation berkuasa kini boleh hadir dalam bentuk komputer riba bersaiz padat yang boleh digalas kemana-mana sahaja. Di Malaysia hari ini dua komputer riba workstation Lenovo ThinkPad P1 dan P72 telahpun dilancarkan. Kedua-duanya hadir dengan pilihan pemproses Intel Xeon serta kad grafik NVIDIA Quadro yang memberikan kuasa memproses yang diperlukan golongan profesional.

Lenovo ThinkPad P1 dilengkapi skrin 15.6″ IPC LCD dengan resolusi sehingga 4K, dijana pemproses Intel Xeon atau Core i7 generasi kelapan, kad grafik NVIDIA Quadro P2000, memori sehingga 64GB DDR4, storan sehingga 4TB NVMe dan bateri sebesar 80Wh. Pilihan I/O yang disertakan termasuk USB-C dengan Thunderbolt 3, pembaca kad empat dalam satu, HDMI dan LAN. Walaupun dilengkapi komponen berkuasa, ia masih mempunyai rekaan nipis 1.84 cm dan seberat 1.7 KG.

Lenovo ThinkPad P72 dilengkapi skrin 17.3″ IPC LCD dengan resolusi sehingga 4K, dijana pemproses Intel Xeon atau Core i7 generasi kelapan, kad grafik NVIDIA Quadro P5200, memori sehingga 128GB DDR4, storan sehingga 6TB, sokongan memori Intel Optane sehingga 16GB, dan bateri sebesar 99Wh. Pilihan I/O yang disertakan termasuk USB-C dengan Thunderbolt 3, pembaca kad empat dalam satu, HDMI, miniDP 1.4 dan LAN. Kerana saiz yang lebih besar dan spesifikasi yang lebih tinggi, P72 mempunyai berat keseluruhan 3.4KG.

Kedua-dua model dilengkapi papan kekunci ThinkPad Precision Keyboard yang memberikan pengalaman menaip paling selesa di pasaran serta mempunyai kemampuan kalis air, debu dan hentakan. Bagi yang mementingkan sekuriti terdapat sistem imbasan cap jari dan ThinkShutter yang menghalang kamera menggunakan penutup fizikal. Kesemuanya juga melepasi piawaian ISV untuk menggunakan perisian yang memerlukan kuasa tinggi seperti AutoCAD, CATIA, 3dsMAx dan SolidWorks.

Di Malaysia Lenovo ThinkPad P1 dijual pada harga bermula dari RM 8719 manakala Lenovo ThinkPad P72 pula dijual pada harga bermula RM 8920.


TIPS & ULASAN