Cari @ Amanz

Fujifilm Memperkenalkan Kamera Fujifilm GFX 50R – Kamera Format Medium Bersaiz Padat Bermula Pada RM18000

Oleh Nazrin

Link Copied!

Fujifilm boleh dikatakan salah satu jenama pelopor di dalam teknologi penggambaran dan kamera. Mereka terkenal untuk kamera bersaiz padat yang mempunyai spesifikasi berkuasa dan ciri-ciri yang menarik.

Pada waktu dimana syarikat-syarikat pembuat kamera semua hadir dengan kamera bingkai penuh nircermin (mirrorless full frame), Fujifilm memperkenalkan kamera format medium terbaru mereka, iaitu Fujifilm GFX 50R.

Ini bukanlah kali pertama Fujifilm membuat kamera format medium di dalam rangka yang padat, tetapi komponen kamera GFX 50R ini dimuatkan di dalam rangka yang lebih kecil lagi berbanding dengan model sebelumnya, GFX 50S.

Dari segi spesifikasi, kamera GFX 50R ini dilengkapi sensor 51.4MP, paparan skrin LCD di bahagian belakang, roda kawalan pendedahan cahaya dan juga ISO, dan menggunakan kad SD untuk menyimpan gambar yang diambil.

Sama seperti model-model kamera format medium Fujifilm sebelum ini, kamera GFX 50R ini turut menyokong penggunaan lensa siri GF Fujinon buatan Fujifilm sendiri.

Dalam pada itu kamera ini juga mempunyai pemidang titik elektronik di bahagian kanan kamera tersebut. Bagi mereka yang ingin menghantar gambar ke peranti pintar ataupun laptop dengan cepat, pengguna boleh melakukannya secara nirwayar melalui sambungan Bluetooth yang turut dimuatkan kepada kamera ini.

Syarikat tersebut turut menyatakan bahawa kamera Fujifilm GFX 50R ini akan mula dijual pada bulan November kelak pada harga $4500 (RM18000) untuk badan kamera sahaja.


Komen ()