Cari @ Amanz

Bilangan siri kad grafik dengan sistem penyejukan khas nampaknya semakin meningkat kebelakangan ini, dan kini tiba giliran MSI untuk hadir dengan siri kad grafik yang direka khas untuk tujuan gaming dan lewahjam.

Siri kad grafik terbaru ini ialah siri MSI SeaHawk X dan MSI SeaHawk X EK yang hadir dengan sistem penyejukan cecair khas. Kedua-dua model penyejuk ini hadir untuk kad-kad grafik RTX 2080 dan juga RTX 2080 Ti, dan dinamakan MSI SeaHawk X RTX 2080 TiMSI SeaHawk X RTX 2080, MSI SeaHawk X EK RTX 2080 Ti dan MSI SeaHawk X EK RTX 2080.

Penyejuk MSI SeaHawk X dilihat menggunakan sistem penyejuk sama seperti sebelum ini, tetapi model SeaHawk X EK pula merupakan sistem penyejuk cecair yang dibina dengan kerjasama EKWB, sebuah jenama penyejuk cecair CPU dan GPU yang terkemuka.

Dari segi spesifikasi, kad grafik MSI SeaHawk X RTX 2080 Ti dan MSI SeaHawk X EK RTX 2080 Ti hadir dengan kelajuan 1755 MHz, manakala kad-kad grafik MSI SeaHawk X EK RTX 2080 dan MSI SeaHawk X EK RTX 2080 mempunyai kelajuan 1860MHz.

Selain daripada kelajuan GPU tersebut, perbezaan diantara kedua-dua siri kad grafik ini ialah versi SeaHawk X biasa dilengkapi dengan radiator 120mm terbina pada kad tersebut, manakala model SeaHawk X EK hadir dengan bongkah penyejukan yang boleh digunakan dengan sistem penyejukan cecair khas.

Buat masa ini, MSI masih belum mengumumkan bilakah siri kad grafik ini akan tiba di pasaran, mahupun tanda harganya, tetapi kami pasti bahawa ia akan menjadi diantara kad-kad grafik siri RTX yang termahal di pasaran.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd