Pada hari ini, terdapat beberapa penyedia dompet nirtunai yang menawarkan kemudahan pembayaran dengan hanya mengimbas kod QR. Walaubagaimanapun, salah satu masalah utamanya adalah terdapat pelbagai variasi dompet nirtunai di pasaran – dan tidak semua pengusaha yang menggunakan dompet sama, sekaligus menyukarkan pengguna untuk melakukan pembayaran.
Untuk mengatasinya, kini CIMB hadir dengan penyelesaian tersendiri, iaitu terminal pembayaran yang menyokong penerimaan pembayaran berasaskan QR daripada enam dompet nirtunai popular.
Dompet nirtunai yang disokong adalah Alipay, Touch & Go Digital, Boost, KiplePay, Mcash, dan juga Vcash.
Gabungan keenam-enam dompet digital ini dikatakan membawa kepada angka pengguna mencapai sekitar 4.5 juta orang di Malaysia.
Dengan penawaran terminal oleh CIMB ini, ia sekaligus memudahkan proses penerimaan pembayaran oleh para penjual – tanpa perlu menyediakan pelbagai sistem berbeza di kaunter untuk menerima pembayaran.
Antara kedai yang telah menggunakan terminal CIMB baru ini untuk menerima bayaran adalah termasuk NSK, Super Seven dan juga House of Leather.