Bersama-sama pengenalan LG V40 ThinQ, pihak LG turut telah melancarkan jam tangan pintar terbaru mereka, iaitu LG Watch W7.
Berbeza dengan pelbagai jam tangan lain, LG Watch W7 membawakan kombinasi gerakan mekanikal dan sokongan digital melaluinya. Dengan langkah ini, ia sekaligus menawarkan masa penggunaan yang lama. Dengan penggunaan pintar dan digital diaktifkan, LG Watch W7 dikatakan boleh digunakan selama sehingga 2 hari lamanya. Tetapi, sekiranya pengguna hanya mengaktifkan sokongan mekanikal yang tidak menawarkan ciri-ciri “pintar”, maka pengguna boleh menggunakan jam ini sehingga 100 hari tanpa pengecasan.
Walaubagaimanapun, seperti biasa, dengan penawaran sokongan notifikasi digital dan sebagainya, semestinya ramai yang akan mengaktifkan dan menggunakannya sebagai jam tangan pintar.
Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan rekaan muka jam bulat 1.2-inci LCD, dijana cip Snapdragon Wear 2100, memori 4GB eMMC, 768MB RAM, dan bateri 240mAh. LG Watch W7 juga merupakan jam tangan pintar pertama daripada LG yang menggunakan sistem operasi Wear OS.
Harga jualan dan tarikh ia akan ditawarkan masih belum diumumkan lagi buat masa ini.