Carian
Cetak Rompak Kembali Meningkat Kerana Terlalu Banyak Perkhidmatan Penstriman Berbayar
October 4, 2018 Effi Saharudin

Perkhidmatan penstriman ialah jawapan kepada masalah cetak rompak yang hampir menyebabkan indusrti muzik dan filem pupus. Tahun lalu majoriti keuntungan industri muzik datang dari perkhidmatan penstriman. Lebih mudah menstrim menggunakan perkhidmatan seperti Spotify berbanding memuat turun ribuan fail MP3  cetak rompak ke dalam peranti. Tetapi nampaknya pentriman video memberikan impak yang sebaliknya.

Menurut laporan Global Internet Phenomena oleh Sandvine, masalah cetak rompak siri TV dan filem kini meningkat semula kerana terlalu banyak perkhidmatan penstriman berbayar. Ini adalah berdasarkan peningkatan penggunaan aplikasi Torrent selepas bertahun menunjukkan trend penurunan pasca pengenalan Netflix. Pengguna mencetak rompak kandungan eksklusif kerana hanya mampu melanggan kepada beberapa perkhidmatan sahaja. Sebagai contoh mereka melanggan Netflix tetapi mencetak rompak kandungan eksklusif Hulu dan Amazon Prime.

Di dalam laporan yang sama, 58% trafik internet global adalah diambil oleh penstriman video dengan Netflix sahaja memegang 15%. Pengguna Torrent pula meningkat di benua Amerika Utara, Eropah dan Timur Tengah.

Ini ialah masalah yang telah diramalkan kerana ia masalah yang sebelum ini berlaku kepada perkhidmatan televisyen satelit berbayar. Adakah anda tergolong di dalam kumpulan pengguna yang masih mencetak rompak kerana hanya mampu melanggan kepada satu perkhidmatan penstriman berbayar sahaja? Jika ya adalah alasan anda juga sama seperti laporan ini?

Komen