Ramai pengguna memadam akaun Facebook selepas skandal Cambridge Analytica. Baru-baru ini 50 juta lagi akaun menjadi mangsa godaman sekaligus membuatkan lebih ramai berfikir untuk meninggalkan platform media sosial nombor satu dunia ini. Sebelum ini selepas akaun dipadam, Facebook akan menyimpan data pengguna selama 15 hari. Tempoh ini kini dipanjangkan sehingga 30 hari.
Menurut laporan the Verge, masa yang lebih panjang ini adalah bagi membolehkan pengguna berfikir lebih lama sebelum benar-benar mahu meninggalkan Facebook. Memandangkan akaun Facebook mungkin menyimpan pelbagai kenangan sejak hampir dua dekad yang lalu, tempoh lebih lama ini dapat mengelakkan gambar-gambar penting dari terpadam selamanya.
Tetapi dari segi privasi pula, ia dilihat sebagai langkah menyimpan data peribadi pengguna dengan lebih lama oleh Facebook. Data peribadi ini adalah “mata wang” yang digunakan oleh Facebook untuk menjana pendapatan laman web yang diberikan secara “percuma”.