Cari @ Amanz

Kemaskini sistem operasi Windows 10 October Update memperlihatkan pelbagai ciri-ciri baru yang menarik, tetapi satu “ciri” yang tidak disangka pengguna ialah kemaskini tersebut memadamkan fail-fail didalam folder My Documents dan My Pictures selepas kemaskini tersebut dipasangkan.

Menurut laporan MSPowerUser, terdapat ramai pengguna yang melaporkan bahawa perkara tersebut berlaku kepada fail-fail mereka selepas mereka mengemaskini Windows 10 ke versi terbaru.

Melihat kepada laporan-laporan pengguna, nampaknya masalah ini berlaku kepada pengguna-pengguna yang menyambungkan ciri simpanan awanan One Drive kepada folder-folder tersebut. Ia dikatakan bahawa fail-fail yang disimpan di dalam folder My Documents dan My Pictures akan dipadamkan tanpa amaran apabila kemaskini October Update tersebut dipasang.

Apa yang lebih teruk lagi ialah jika anda kembali kepada versi Windows 10 sebelum ini, fail-fail tersebut masih terpadam, dan terdapat kebarangkalian bahawa ia tidak boleh dikembalikan.

Akan tetapi, MSPowerUser melaporkan lagi bahawa terdapat satu penyelesaian jika anda menghadapi masalah ini, iaitu untuk menggunakan perisian pemulihan data Piriform Recuva yang boleh dimuat-turun secara percuma.

Mereka turut menyarankan anda tidak kembali ke versi Windows 10 sebelum ini, kerana ini mungkin akan memadamkan data anda secara kekal.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd