Desas-desus mengenai pelancaran siri CPU Intel Core generasi kesembilan akhirnya terjawab apabila Intel mengumumkan siri CPU tersebut di acara pelancaran Fall Desktop Launch mereka di New York hari ini.
Siri CPU kesembilan ini merupakan pelancaran yang besar untuk Intel. Ini merupakan siri pertama dimana Intel mengintegrasikan siri CPU Intel Core i9 pada siri CPU umum mereka. Ini juga merupakan siri pertama dimana Intel menaiktarafkan jumlah teras CPU mereka, dimana CPU Intel Core i9-9900K menggunakan lapan teras dan 16 bebenang kuasa.
Di acara tersebut, pihak Intel turut menunjukkan kebolehan model CPU Intel Core i9-9900K, dimana ia mampu dilewah jam selaju 5.0GHz menggunakan penyejuk cecair parti ketiga. CPU ini hadir dengan kelajuan asas 3.6GHz.
Selain dari CPU tersebut, Intel turut menunjukkan dua lagi model CPU Intel Core generasi kesembilan, iaitu Intel Core i7-9700K dan juga Intel Core i5-9600K yang mempunyai kelajuan asas 3.6GHz dan 3.7GHz. Dari segi kemampuan lewah jam, kedua-dua CPU ini turut hadir dengan prestasi selaju 4.9GHz dan 4.6GHz.
Selain dari itu, kesemua CPU-CPU yang dilancarkan pada hari ini akan menggunakan Solder Thermal Interface Material yang lebih mudah untuk mengalirkan haba daripada cip CPU daripada bahan yang digunakan sebelum ini.
Dalam pada itu, Intel turut menyatakan bahawa CPU-CPU ini dilengkapi dengan 40 jalur PCIe untuk membolehkan pengguna memasang lebih banyak perkakasan yang menggunakan teknologi PCIe pada komputer mereka pada bila-bila masa.
Menurut Intel, CPU Intel generasi kesembilan ini sudah boleh dipra-tempah bermula hari ini, dan akan mula dijual pada 19 Oktober 2018 kelak. Intel turut menyatakan bahawa tanda harga untuk CPU-CPU ini adalah seperti berikut:
- Intel Core i9-9900K – $488 (~RM2030)
- Intel Core i7-9700K – $374 (~RM1555)
- Intel Core i5-9600K – $262 (~RM1090)