Microsoft sebelum ini telah berkongsi mengatakan mereka sedang membangunkan perkhidmatan penstriman berasaskan awan, dan hari ini mereka mengumumkannya secara rasmi. Dinamakan Project xCloud, ia akan membolehkan anda menstrim permainan Xbox ke konsol lain, PC, dan juga telefon pintar anda.
Microsoft bakal memulakan ujian terbuka untuk Project xCloud ini pada 2019 kelak. Microsoft berhasrat menawarkan kualiti permainan yang konsisten pada pelbagai peranti melalui projek terbaru ini. Ia juga akan menggunakan kelebihan infrastruktur milik Microsoft yang terdapat diseluruh dunia dalam menawarkan pengalaman penstriman yang baik kepada pengguna.
Microsoft mengatakan, selain daripada pada PC dan konsol, mereka juga turut menguji Project xCloud untuk dimainkan pada telefon pintar dan tablet – yang mana dimainkan menerusi penggunaan Xbox Wireless Controller atau melalui input berasaskan sentuhan.
Microsoft dijangka berkongsi lanjut mengenai projek terbaru ini menjelang ujian terbuka yang dijadualkan pada tahun 2019 ini.
Selain Microsoft, terdapat beberapa pihak lain yang turut menceburi arena penstriman permainan ini, termasuk Google dengan Project Stream, Sony dengan PlayStation Now, dan NVIDIA dengan GeForce Now.