Google+ (disebut Google Plus) merupakan salah satu perkhidmatan sosial yang disediakan oleh gergasi enjin carian Google. Namun, perkhidmatan berkenaan boleh dikatakan tidak digunakan secara meluas oleh pengguna.
Hari ini, Google mengumumkan yang mana mereka akan menamatkan penawaran Google+ untuk pengguna – dimana selain disebabkan tidak ramai pengguna yang menggunakannya, salah satu sebab Google menamatkannya juga adalah disebabkan oleh kerentanan sekuriti.
Kerentanan sekuriti pada perkhidmatan sosial berkenaan dikatakan memberikan kesan kepada hampir 500,000 akaun pengguna. Melalui kerentanan sekuriti ini, salah satu akses API yang ditawarkan Google turut memberikan informasi berkaitan seseorang pengguna walaupun tidak ditandakan sebagai perkongsian umum. Ini sekaligus mendedahkan info seperti nama, umur dan pekerjaan yang disimpan pada sesuatu akaun Google.
Google mengatakan mereka tidak menemui sebarang penyalahgunaan disebabkan kerentanan ini buat masa ini. Selari dengan penemuan ini juga Google mengatakan mereka akan menamatkan perkhidmatan Google+ berkenaan.
Google mengatakan mereka mendapati pengguna umum tidak menggunakan perkhidmatan berkenaan, malah sekitar 90% penggunaan Google+ oleh pengguna umum adalah kurang daripada lima saat.
Perkhidmatan sosial ini akan ditamatkan dalam tempoh sekitar 10 bulan lagi. Bersama-sama penamatan Google+ untuk pengguna, Google mengatakan mereka akan memberikan nafas baru untuk perkongsian data daripada sesuatu akaun pengguna – dimana pengguna akan dapat mengawal apakah info yang dikongsikan bersama aplikasi pihak ketiga.