Terdapat banyak aplikasi percuma yang boleh dimuat turun menerusi Play Store. Kerap kali pengguna tidak menyedari aplikasi yang dimuat turun ini meminta akses kepada log panggilan telefon dan SMS. Kerana pengguna kurang cakna, ini digunakan oleh pembangun perisian hasad untuk mencuri data peribadi yang sensitif.
Bagi menyelesaikan kerentanan sekuriti yang mungkin berlaku, Android akan mula menghalang aplikasi yang dimuat turun dari mengakses log panggilan telefon dan SMS peranti pengguna. Hanya aplikasi yang digunakan sebagai default oleh pengguna untuk melakukan panggilan telefon dan SMS sahaja akan diberikan akses. Pembangun diberikan masa 90 hari untuk memenuhi permintaan polisi terbaru ini.
Ini bermakna pada satu-satu masa hanya dua aplikasi sahaja boleh mengaksesnya. Dengan kata Facebook Messenger tidak boleh mengakses SMS anda sekiranya ia tidak ditetapkan sebagai aplikasi membaca SMS pada peranti. Pada waktu yang sama aplikasi seperti WhatsApp yang menghantar SMS untuk pengesahan nombor tidak akan terjejas kerana menggunakan API berlainan untuk membaca khidmat pesanan ringkas.