Cari @ Amanz

Selari dengan pelancaran siri CPU Intel generasi kesembilan, sebilangan pembuat komputer seperti Acer, HP dan Lenovo hadir dengan pelan untuk membuat kemaskini untuk komputer-komputer desktop mereka dimana mereka akan hadir dengan CPU Intel Core i9 terbaru tersebut.

ASUS turut mengorak langkah yang sama dengan mengumumkan bahawa mereka akan mengemaskini siri komputer desktop ASUS ROG STRIX GL12 mereka dengan semua teknologi-teknologi perkomputeran yang terbaru dan paling berkuasa melalui model terbaru mereka, ROG STRIX GL12CX.

 

Bagi mereka yang masih sedang mencari sebuah komputer gaming yang berkuasa, ASUS ROG STRIX GL12 ini bakal dilengkapi dengan CPU Intel Core i9-9900K yang boleh dilewah jam sehingga 5.0GHz, pilihan memori DDR4 sebanyak 64GB, bersama-sama dengan pilihan dua storan SSD NVMe di dalam konfigurasi RAID 0 ataupun satu SSD dan satu storan Intel Optane jika anda memilih untuk menggunakan storan cakera keras.

Dari segi pilihan kad grafik pula, mereka yang berminat boleh memilih untuk mendapatkan model yang dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 ataupun RTX 2080 Ti untuk pengalaman bermain permainan komputer yang tiada tandingan.

CPU Intel Core i9 generasi kesembilan ini akan disejukkan dengan penyejuk CPU cecair, dan ini akan memastikan bahawa CPU tersebut boleh dilewah jam tanpa sebarang masalah seperti kesesakan kelajuan (bottleneck).

Pra-tempah untuk komputer ASUS ROG STRIX GL12CX ini dikatakan sudahpun bermula pada hari ini, dan tarikh jualannya pula dikatakan akan ditetapkan pada bulan November 2018 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd