Sony, melalui temuramah yang dilakukan bersama Financial Times, hari ini mengesahkan yang mana mereka sedang membangunkan konsol generasi baru yang bakal menjadi pengganti untuk PlayStation 4.
Menurut Kenichiro Yoshida, presiden syarikat berkenaan, beliau menekankan yang mana ia adalah sesuatu yang penting untuk mempunyai perkakasan generasi akan datang. Walaubagaimanapun, ia masih tidak diketahui sama ada konsol akan datang ini bakal dikenali dengan nama PlayStation 5 atau tidak.
Seperti ramai sedia maklum, pembangunan sesuatu peranti dan perkakasan generasi baru adalah suatu perkara yang dilakukan pelbagai syarikat dari masa ke semasa.
Ia tidak diketahui lagi bilakah Sony akan melancarkan konsol generasi baru mereka. Ia mungkin mengambil masa beberapa tahun lagi – apatah lagi Sony perlu membuka peluang untuk para pembangun permainan untuk hadir dengan permainan yang dioptimasikan untuk konsol akan datang, yang mana turut memakan masa beberapa tahun untuk disiapkan.