Carian
Google Photos Kini Hadir Dengan Fungsi Live Album Dan Suntingan Bokeh
October 10, 2018 Effi Saharudin

Saya menggunakan peranti Android dan iOS. Bagi memudahkan proses menyimpan gambar yang telah diambil, Google Photos saya gunakan sebagai storan awanan setempat kerana storan hampir tiada had. Kerap kali gambar anak akan saya kongsi dengan ibu bapa tetapi ia perlu dilakukan secara manual. Google Photos semalam telah dikemaskini dengan fungsi baharu Live Album, suntingan bokeh dan Top Shot

Menerusi Live Album, perkongsian gambar dapat dilakukan dengan lebih mudah dan automatik. Pengguna hanya perlu memilih subjek (gambar anak atau haiwan peliharaan misalnya) dan album khusus akan dihasilkan oleh Google Photos. Album ini akan sentiasa dikemaskini dan dikongsi dengan gambar subjek yang dipilih. Oleh itu ibu bapa saya misalnya akan sentiasa dapat melihat gambar cucu mereka yang terkini.

Turut diperkenalkan ialah suntingan tahap bokeh pada gambar yang telah diambil. Buat masa ini ia menyokong gambar yang diambil menggunakan Pixel 3, Pixel 2 dan Motorola Moto G6. Sokongan gambar yang diambil pada peranti lain akan hadir dengan membaca datameta yang tersimpan.

Akhir sekali ialah fungsi Top Shot yang mengambil gambar yang terbaik berdasarkan video Motion Photo yang diambil bersama gambar statik. Kecerdasan buatan Google Photos mengesan gambar terbaik dengan kualiti HDR+. Buat masa ini Top Shot hanya menyokong gambar yang diambil menggunakan Pixel 3 sahaja.

Komen