Apple iPhone X adalah model iPhone yang paling unik. Ini kerana Apple menggunakan rekaan hampir nirbingkai dengan peratusan skrin 82.9%. Kini, selepas satu tahun – iPhone XS pula dilancarkan yang merupakan pengganti buat iPhone X.
iPhone XS dan iPhone X sangat seronok digunakan, kerana kawalan gesturenya yang lancar, Face ID yang selamat dan juga apabila digunakan terasa premium dan gah. Jadi, ada yang mengatakan iPhone XS hanya satu kemaskini kecil berbanding iPhone X. Adakah ini benar? Ini adalah artikel pandang pertama selepas hampir dua minggu menggunakannya.
Spesifikasi
iPhone XS | |
---|---|
Skrin | 5.8″ Super Retina OLED (458 PPI) |
Pemproses | A12 Bionic |
CPU | 2x Vortex + 4x Tempest 6-Teras, Binaan 7nm |
Cip Grafik | Apple GPU 4-Teras |
RAM | 4GB |
Muatan Dalaman | 64/256/512 GB |
Kamera Utama | 12MP Lensa Sudut Lebar f/1.8 + OIS 12MP Telefoto f/2.4 + OIS |
Kamera Depan | 7 Megapixel, f/2.2 |
Bateri | 2658mAh (Pengecasan Pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano + eSIM |
Lain-Lain | 120Hz Touch Sensing |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Wajah – Face ID |
Harga Jualan | Harga Import – RM4900 |
Skrin 5.8″ Super Retina OLED digunakan dengan resolusi 1125 x 2436 pada nisbah 19.5:9. Panel skrinnya juga menyokong 3D Touch, HDR10, Wide color gamut dan paling menarik adalah 120Hz touch sensing. 120Hz Touch Sensing ini memberi pengalaman sentuhan dan penggunaan kawalan gesture yang sangat lancar dan hebat. iPhone XS ini dijana dengan cip A12 Bionic binaan 7nm, 6-teras dengan GPU 4-teras. Memori pula adalah 4GB RAM dengan storan sehingga 512GB. Untuk perlindungan kalis air, ia menyokong IP68 di mana adalah satu peningkatan berbanding iPhone X yang hanya menyokong IP67. Kemudian iPhone XS adalah siri iPhone pertama yang menyokong dwi-sim. Tetapi, fungsi dwi-sim adalah terhad mengikut negara. Negara seperti Malaysia, akan menerima slot sim nano + eSIM. Sistem dwi-kamera menggabungkan sensor 12 Megapixel lensa sudut lebar f/1.8 + 12 Megapixel lensa telefoto f/2.4 dan kedua-dua lensanya mempunyai OIS. Dari segi kemampuan merakam video pula, iPhone XS boleh merakam pada tetapan2160p@24/30/60fps, 1080p@30/60/120/240fps dan HDR.
Membekalkan kuasa kepada peranti ini ialah bateri sebesar 2658 mAh dengan kemampuan pengecasan pantas (Power Delivery USB-C ke Lightning). Sayang sekali, di dalam kotak – Apple masih tidak menyertakan pengecas pantas dan masih memberikan pengecas lama pada zaman iPhone 5 lagi.
Rekabentuk
Peranti ini mempunyai rekaan skrin bertakuk. Saiz takuknya yang besar kerana memuatkan sensor 3D untuk Face ID. Bahan binaan iPhone XS adalah daripada gabungan keluli tahan karat gred alat pembedahan, aluminium gred aeroangkasa dan kaca yang sangat kukuh.
Seperti iPhone X sebelum ini, Apple masih menawarkan pilihan warna klasik Space Grey dan Silver. Warna terbaru adalah Gold. Jadi untuk membezakan iPhone XS ini adalah iPhone yang baru, dicadangkan membeli warna emas – kerana rekaannya sangat sama dan tiada beza.
Butang gelungsur notifikasi masih lagi terdapat pada sisi kanan bersama-sama dengan butang aras suara. Pada sisi kiri pula terdapat butang kuasa. Butang-butang pada iPhone XS terasa sedap ditekandan memuaskan.
Sebuah port pengecasan lightning dan kekisi audio terletak pada bahagian bawah peranti. Seperti biasa tiada bicu audio 3.5mm. Paling mengecewakan adalah, penyesuai bicu audio ke lightning tidak disertakan. Saiz kamera pula adalah lebih tebal dan besar. Jadi kerangka iPhone X akan ada sedikit masalah jika ingin digunakan pada iPhone XS.
Bercakap mengenai kamera, saiznya yang lebih besar ia membonjol dan menjengkelkan jika diletak di atas meja. Ini menjadikan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Jadi kerangka rasmi atau kerangka pelindung tahan lasak adalah digalakkan untuk meratakan iPhone XS. Panel kaca belakang pula, walaupun ia lebih kukuh – kotoran cap jari masih akan terperangkap.
Apple tetap Apple dan produk telefon pintar mereka seperti iPhone XS ini mensasarkan pengguna yang bangsawan. Pengecas pantas tidak disertakan dan perlu beli berasingan, penyesuai bicu audio juga begitu. Tetapi, iPhone ini ada peminat mereka tersendiri dan walaupun harganya boleh membeli sebuah motosikal – peminat iPhone tetap akan membelinya.
Antaramuka
Sistem operasi iOS 12 digunakan dengan antaramuka asas sebuah profuk Apple. iOS 12 adalah sebuah sistem yang semakin pintar seolah kecerdasan buatan terbina. Untuk kawalan iPhone XS ini, ia masih mengekalkan penggunaan kawalan gesture seperti iPhone X. Cuma kini ia adalah lebih lancar. Jika Apple tidak perkenalkan kawalan gesture, peranti Android sekarang pasti tidak akan menyertakan fungsi ini.
Untuk ciri/fungsi tambahan lain pula, berikut adalah senarai:
120 Hz Touch Sensing – Fungsi ini adalah mimik kepada skrin dengan kadar segar semula 120Hz. Cuma ia memfokuskan pada kawalan sesentuh dan menjadikan iPhone XS ini sangat lancar.
Animoji & Memoji – Menggunakan sensor-sensor yang hadir dalam takuk, fungsi ini boleh menghasilkan animasi watak emoji dan watak kartun manusia yang realistik mengikut pergerakan pengguna masa nyata. Termasuk jelir lidah.
Depth Control – Mengawal tahap bokeh pada latar belakang gambar mo potret. Kini lebih baik.
Face ID – Nyahkunci peranti dengan mengimbas wajah. Kali ini sangat pantas, terima kasih A12 Bionic dan iOS 12.
Kawalan Gesture – Kawalan gesture dengan menatal, menatal dan tahan. Ia adalah kawalan gesture terbaik dalam mana-mana peranti pintar lain.
Pengumpulan Notifikasi – Mengumpulkan notifikasi bagi memudahkan pengguna menyemak dan memberi maklum balas.
Screen Time – Fungsi pintar yang memantau penggunaan peranti. Ia adalah SOT untuk iOS dan turut mempunyai hab untuk pengguna menyemak, mengawal dan juga menerima laporan.
Siri Shortcuts – Siri menjadi lebih pintar dengan akses pintas kawalan suara.
Kesimpulan
iPhone XS adalah sebuah telefon pintar premium yang memfokuskan kepada peminat Apple. Kemudian, cip A12 Bionic yang sangat hebat dan gah ini menjadikan iPhone XS ini mempunyai prestasi yang sangat lancar.
Binaan yang premium, skrin hampir penuh, perlindungan kalis air IP68, pengecasan nirwayar dan sokongan pengecasan pantas adalah perkara yang menarik. Kemudian, jika anda sekarang adalah pengguna iPhone X – percaya atau tidak iPhone XS ini tidak berbaloi. Ia lebih sesuai jika anda adalah pengguna iPhone 8 Plus dan ke bawah atau yang belum pernah merasai siri iPhone X.
iPhone XS dijangka akan memasuki pasaran Malaysia pada bulan ini juga. Harga tidak pasti, jika set import iPhone XS dilihat dijual pada harga dari RM4,900 sehingga RM5,300 untuk variasi 64GB. Sebagai peringatan, set pandang pertama ini adalah set daripada Hong Kong dan rangkaian LTEnya mungkin sedikit berbeza.
Jadi apakah pendapat pembaca Amanz? Adakah anda akan memiliki iPhone XS atau akan terus nantikan XS Max atau hanya nantikan keluaran iPhone baru pada tahun hadapan?