Carian
Razer Phone 2 Dilancarkan Dengan Skrin Nirtakuk 120Hz Dan Kalis Air IP67
October 11, 2018 Effi Saharudin

Razer Phone 2 telah dilancarkan sebentar tadi dan ia sekali lagi mensasarkan golongan peminat permua. Dari segi rekaan ia mempunyai banyak persamaan dengan model tahun lalu. Tubuh masih lagi berkotak dengan pembesar suara stereo pada bahagian hadapan. Perbezaan yang dilakukan ialah panel belakang kini diperbuat daripada kaca serta kebuk penyejukan wasap gergasi di dalam tubuh.

Dari segi rekaan ia dilengkapi skrin 5.7″ IPS LCD QHD HDR 120Hz, dijana pemproses Snapdragon 845, memori sebesar 8GB RAM dan storan sebesar 128GB. Dwi kamera 12+12 Megapixel f/1.75+f/2.6 pada bahagian belakang masih mengekalkan zoom optikal 2X tetapi kedudukannya kini diubah ketengah. Kamera hadapan juga masih lagi sebesar 8-Megapixel f/2.0. Aplikasi kamera hadir dengan mod potret, kecantikan dan peningkatan kualiti gambar diambil dalam keadaan gelap. Bateri yang digunakan pula sebesar 4000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 4+.

Pembesar suara stereo pada bahagian hadapan menyokong audio Dolby 5.1 dengan kelantangan melangkaui 100 dB. Sedikit melampau logo Razer pada panel belakang mempunyai sokongan LED Razer Chroma yang boleh diubah mengikut kehendak pengguna.

Razer Phone 2 juga kini mempunyai kemampuan kalis air IP67 dan pengecasan nirwayar. Dermaga pengecasan untuk Razer Phone 2 ini turut hadir dengan sokongan pencahayaan LED Razer Chroma. Satu lagi penambahbaikan yang dilakukan ialah skrin peranti kini hampir dua kali ganda lebih terang berbanding generasi pertama.

Razer Phone 2 hadir dalam dua versi iaitu panel belakang berkilat dan versi Satin dengan kemasan hitam pusam. Harga jualannya pula ialah $799 (~RM 3322) sebuah.

Komen