Cari @ Amanz

Pada Ogos lalu, Maxis telah mengumumkan kemaskini pelan jalur lebar mereka yang terbaru, yang turut mengikut saranan Menteri Komunikasi untuk menyediakan capaian internet yang pantas di seluruh negara. Hari ini mereka telah mengumumkan program Fibrenation Box Swap untuk pelanggan pelan am MaxisONE Home Fibre dan juga pelan perusahaan Business Fibre.

Menerusi program ini, pasukan Maxperts, iaitu khidmat sokongan yang disediakan Maxis akan datang melawat pengguna bagi menukarkan penghala (router) Wi-Fi Single Band kepada Dual Band yang turut membolehkan pengguna menikmati kelajuan internet yang lebih laju. Sebanyak 1,500 pelanggan am dan perusahaan akan dilawati pasukan ini dalam dua hari ini dan sehingga hari ini, terdapat 40,000 pelanggan yang mendaftar untuk penaiktarafan ini.

Bagi pelanggan perusahaan, penghala baru yang diberikan akan hadir dengan fungsi capaian internet tanpa gangguan menggunakan kad SIM didalam penghala tersebut. Ini akan memastikan sekiranya terdapat gangguan menerusi sambungan kabel fiber, pengguna perusahaan masih dapat menggunakan internet secara 4G. Malah mereka juga akan menerima penghala yang menyokong penaiktarafan kelajuan pada masa akan datang.

Penaiktarafan ini akan diberikan hanya kepada pelanggan Maxis yang menginginkannya dan kontrak 24-bulan akan disambung. Anda boleh mendaftar untuk penaiktarafan ini secara atas-talian, dan pasukan Maxperts akan menetapkan temujanji untuk penukaran penghala baru.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd