Carian
Pandang Pertama: Realme 2 Pro – Peranti Snapdragon 660 Pada Harga Lebih Mampu Milik
October 14, 2018 Arib Ismail

Realme 2 Pro
Skrin 6.3” IPS LCD, FHD+
Chipset Qualcomm Snapdragon 660
CPU 4 x Kryo 260 2.0 GHz
4 x Kryo 260 1.8 GHz
GPU Adreno 512
Memori 4GB / 6GB / 8GB RAM
Storan 64GB / 128GB + mikroSD
Kamera Utama 16MP f/1.7 + 2MP
Kamera Hadapan 16MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Mikro-USB
Sistem ColorOS 5.2
Android 8.1 Oreo
Bateri 3500 mAh, pengecasan 10W
Dimensi 156.7 x 74 x 8.5 mm
Berat & Ketebalan 174g, 8.5mm

Realme merupakan jenama baru dalam pasaran telefon pintar, iaitu sebuah sub-jenama daripada OPPO. Jenama ini ditubuhkan berlandaskan slogan “Power Meets Style“, iaitu slogan yang cukup menarik dalam penghasilan peranti. Realme bukan sahaja ingin menghasilkan peranti yang mempunyai spesifikasi yang berkuasa untuk harganya, tetapi juga mahukan sebuah peranti yang mempunyai rekaan yang anggun bergaya.

Mereka sebelum ini telah hadir dengan Realme 1, iaitu peranti kelas pertengahan yang dikuasakan dengan cip MediaTek Helio P60. Ia menerima banyak komen positif daripada sejumlah besar pengulas teknologi, atas kehadiran spesifikasi yang berbaloi untuk harganya, kamera yang baik, bersama rekaan peranti yang menarik. Kini mereka telah hadir dengan peranti penerus untuk Realme 1, menerusi Realme 2 Pro yang turut membawakan spesifikasi kelas pertengahan yang berkuasa.

Rekaan

Sebagai permulaan, Realme 2 Pro didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip Snapdragon 660, pilihan memori 4GB / 6GB / 8GB RAM, dan pilihan storan dalaman 64GB / 128GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan standard seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 3500 mAh.

Dari segi rekaannya, ia membawakan binaan berasaskan plastik seperti Realme 2, namun ia kelihatan seolah-olah hadir dengan binaan berasaskan kaca. Ia tidak kelihatan murah, sekaligus membuatkan anda sangka ia dibina dengan bahan binaan yang lebih mahal. Cuma rekaannya tidak menampilkan sebarang kemasan (seperti kemasan berlian pada Realme 2), dengan mengekalkan binaan ringkas dan kemas. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan biru, yang mana boleh dipilih sewaktu membuat pembelian peranti ini.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa di bahagian kanan, manakala butang pembesar suara dan slot dwi-sim (berserta slot mikroSD berasingan) ditempatkan di bahagian kiri. Sambungan standard seperti bicu audio 3.5mm ditempatkan di bahagian bawah, bersama-sama dengan pembesar suara mono yang turut ditempatkan pada kedudukan sama. Cuma tidak seperti Xiaomi Mi A2 & ASUS ZenFone 5, ia masih mengekalkan sambungan mikroUSB, berbanding USB-C yang sudah menjadi standard pada kebanyakan peranti hari ini.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan saiz skrin IPS LCD sebesar 6.3-inci, dengan resolusi skrin Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Agak berbeza dengan Realme 2, takuk pada Realme 2 Pro menawarkan takuk seumpama titisan air, seperti yang dilihat pada OPPO F9. Takuk ini tidak begitu mengganggu bahagian atas skrin, sekaligus memberi keluasan paparan yang lebih besar. Walaupun tidak menampilkan panel OLED, panel IPS LCD pada peranti ini masih memberi kualiti paparan yang sangat baik dengan memberi darjah pandangan skrin yang luas.

Dari segi variasi, Realme 2 Pro ditawarkan dalam tiga variasi berbeza, iaitu 4GB RAM / 64GB, 6GB RAM / 64GB, dan 8GB RAM / 128GB. Agak menarik pada variasi paling tinggi, ia menggunakan storan UFS 2.1 berbanding eMMC 5.1 untuk memberi kelajuan storan yang lebih pantas. Namun seperti kebanyakan peranti kelas pertengahan yang lain, ia masih membawakan slot kad mikroSD (sehingga 256GB), sekiranya storan dalaman peranti ini tidak mencukupi untuk anda.

Sistem

Realme 2 Pro dijana dengan ColorOS 5.2, iaitu antaramuka yang sama digunakan pada peranti OPPO terkini seperti OPPO F9. Ia dibina dengan Android 8.1 Oreo, jadi anda boleh memanfaatkan sejumlah fungsi menarik seperti Autofill untuk memudahkan kemasukan kata laluan. Sekiranya anda pernah menggunakan peranti OPPO, antaramuka ColorOS 5.2 lebih memberi tampilan yang lebih ceria, selain mengikuti standard antaramuka moden pada hari ini.

Cuma agak sedikit pelik, ia tidak membawakan fungsi Themes bagi membolehkan pengguna membuat perubahan tema. Namun ia masih membawakan sejumlah fungsi ColorOS 5 terkini, seperti Game Space yang membolehkan ia meningkatkan kelajuan dan membantu untuk menyorokkan notifikasi ketika permainan. Ia juga membawakan fungsi Phone Manager iaitu pusat sehenti untuk mengawal storan, memori, dan akses sesuatu aplikasi pada peranti anda.

Prestasi

Antara yang menjadi perhatian pada peranti ini semestinya dari segi cip pemprosesan yang digunakan iaitu Qualcomm Snapdragon 660. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 2.0 GHz + 4 x Kryo 260 1.8 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 512. Cip ini terkenal dengan prestasinya yang pantas, sekaligus membolehkannya menggalas sejumlah tugasan harian dan permainan intensif dengan amat lancar. Cip ini turut digunakan pada peranti sekelasnya seperti Xiaomi Mi A2, yang mana kini ditawarkan pada harga bermula RM999.

Kamera

Dari segi kamera, Realme 2 Pro membawakan penawaran yang lebih baik berbanding OPPO F9, melalui padanan sensor utama 16MP f/1.7 (Sony IMX398) dan sensor kedua 2MP f/2.2 untuk hasilan bokeh. Dengan harga peranti yang berpatutan, ia tidak didatangan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan penggambaran. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Seperti OPPO F9, ia dilengkapi dengan pengoptimasian daripada kecerdasan buatan (AI), bagi membolehkan kamera mengenal pasti sesuatu subjek dan mengoptimasikan kontras dan cahaya berdasarkan subjek tersebut. Seperti contoh, sekiranya anda menghalakan kamera ke arah makanan, ia akan meningkatkan konstras warna makanan tersebut agak menjadikannya kelihatan lebih menarik. Fungsi AI ini diaktifkan secara automatik, jadi anda tidak perlu menetapkan sebarang tetapan sebelum mengambil sesuatu gambar.

Dari segi keupayaan kamera hadapan pula, ia menawarkan kamera 16MP f/2.0, bersama pengoptimasian AI untuk mencantikkan lagi wajah anda. Anda juga boleh menggunakan fungsi Portrait Mode yang membolehkan kesan kabur dihasilkan di bahagian belakang wajah.

Dari segi fungsi, Realme 2 Pro menawarkan rakaman video setinggi 4K@30fps, namun penstabilan video yang diaktifkan untuk rakaman 1080p@30fps. Ia juga menyajikan fungsi Portrait Lighting iaitu fungsi yang dapat membuat simulasi penggambaran seumpama di dalam studio. Anda juga boleh menggunakan fungsi Stickers, dengan membolehkan anda melekatkan animasi menarik pada wajah. Fungsi Expert Mode turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran ISO, fokus, dan shutter speed.

Bateri

Dari segi bateri, Realme 2 Pro membawakan kapasiti bateri yang sama seperti OPPO F9, menerusi kapasiti 3500 mAh. Dengan penggunaan cip 14nm menerusi cip Snapdragon 660, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan nyalaan skrin yang lama.

Seperti OPPO F9, ia dijangka dapat memberi bacaan nyalaan skrin (SoT) sekitar 6-7 jam untuk penggunaan dari pagi sehingga ke waktu malam. Namun dari segi pengecasan, ia tidak menampilkan sebarang sokongan pengecasan VOOC seperti OPPO F9, dengan memerlukan pengguna bergantung kepada pengecasan 10W.

Rumusan

Realme 2 Pro boleh dikatakan menyerupai seperti OPPO F9, namun ditawarkan pada harga yang lebih berpautan. Untuk mengurangkan harga jualannya, peranti ini tidak didatangkan dengan pengecasan pantas VOOC, sebaliknya bergantung kepada pengecasan standard berasaskan 10W. Binaan kaca di hadapannya juga adalah terdiri daripada kaca Gorilla yang lama berasaskan Gorilla Glass 3, berbanding Gorilla Glass 5 pada OPPO F9.

Namun begitu, Realme 2 Pro ini masih sebuah peranti kelas pertengahan yang sangat baik untuk harganya dengan mengekalkan beberapa fungsi penting yang ada pada OPPO F9. Ia dijana dengan cip kelas pertengahan premium, sokongan dwi-kamera yang terang, bersama kapasiti bateri yang mampu bertahan sepanjang hari. Harga yang akan ditawarkan juga amat berpatutan, membuatkannya salah satu peranti kelas pertengahan yang menarik untuk dilihat pada tahun ini.

Untuk jualan, Realme 2 Pro ini masih belum diumumkan dari segi harga dan tarikh jualan untuk pasaran tempatan. Namun pihak Realme telah mengesahkan peranti ini akan memasuki pasaran tempatan pada tahun ini dalam satu tarikh yang ditetapkan. Di pasaran Indonesia, Realme 2 Pro ini dijual pada harga jualan Rp. 2,899,000 (~RM790) bagi 4GB/64GB, Rp. 3,299,000 (~RM899) bagi 6GB/64GB, dan Rp. 3,699,000 (~RM1008) bagi 8GB/128GB.

Komen