Cari @ Amanz

Siri kad grafik terbaru daripada NVIDIA, iaitu NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti dan RTX 2080 sudahpun hadir di pasaran tempatan sejak beberapa minggu lalu dengan tanda harga mampu lihat.

Bagi mereka yang menunggu kedatangan siri kad grafik yang lebih murah, MSI baru-baru ini memperlihatkan beberapa model dari siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 mereka yang hadir dengan rekaan penyejuk khas.

Kad grafik pertama yang diperlihatkan ialah kad grafik MSI GeForce RTX 2070 Gaming Z, iaitu model yang boleh dikatakan paling premium diantara semua model kad grafik di dalam siri ini. Ia dilengkapi dengan sistem penyejukan dwi-kipas Twin Frozr 7 bersama-sama dengan sistem penyalaan RGB Mystic Light yang memberikan kad grafik ini rekaan warna-warni yang menarik.

MSI GeForce RTX 2070 Duke 8G OC pula hadir dengan tiga kipas penyejuk TORX Fan 2.0 bagi mereka yang lebih mementingkan prestasi dan suhu kad untuk pengalaman gaming dan lewah jam yang tiada tandingan.

Kad grafik MSI GeForce RTX 2070 Armor 8G OC pula boleh dikatakan hampir serupa dengan kad grafik RTX 2070 Duke, tetapi hanya menggunakan dua kipas penyejuk TORX 2.0 dan bukannya tiga.

Dan terakhir sekali, MSI GeForce RTX 2080 Aero hadir dengan satu kipas penyejuk vapor chamber yang hampir menyerupai kad grafik NVIDIA Founders Edition sebelum ini.

NVIDIA baru-baru ini mengumumkan bahawa kad grafik siri RTX 2070 ini akan mula dijual di pasaran dunia pada 17 Oktober kelak, dan kami pasti kad-kad grafik dengan penyejuk-penyejuk khas ini akan tiba di pasaran di waktu yang sama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd