Cari @ Amanz

Intel baru sahaja memperkenalkan siri CPU generasi kesembilan mereka yang terbaru, dan selain daripada perkenalan model Intel Core i9 ke barisan produk arus utama mereka, kebanyakan daripada spesifikasi CPU tersebut boleh dikatakan lebih kurang sama seperti model-model generasi sebelum ini.

Sebelum ini, siri CPU arus utama Intel biasanya hadir dengan sokongan untuk memori DDR4 sebanyak 64GB sahaja, tetapi dengan siri terbaru ini, pihak Intel baru sahaja mengesahkan bahawa siri CPU terbaru ini menyokong jumlah memori DDR4 yang besar, sebanyak 128GB.

Menariknya, CPU-CPU ini menyokong jumlah memori yang besar ini melalui empat slot DIMM dan ciri dual channel yang sedia ada. Ini adalah sesuatu yang cukup penting kerana biasanya, untuk menyokong memori sebanyak 128GB, CPU Intel Xeon dan papan induk yang hadir dengan lapan slot memori DIMM dan sokongan untuk memori quad-channel diperlukan.

Syarikat-syarikat seperti Samsung dan Intel turut hadir dengan komponen memori UDIMM yang mempunyai jumlah memori 32GB dalam satu batang yang boleh memaksimakan penggunaan memori sebanyak 128GB dalam empat slot.

Dalam pada itu, ASUS turut hadir dengan sokongan memori baru yang dinamakan Double Capacity DIMM, yang pada awalnya digunakan untuk papan induk bersaiz kecil (m-ATX, mini-ITX) yang mempunyai jumlah slot memori yang sedikit.

Buat masa ini, papan-papan induk Intel Z390 masih hanya hadir dengan sokongan untuk jumlah memori 64GB, tetapi semua itu mungkin berubah dengan kemaskini di masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd