Salah satu masalah yang membelenggu pemilik komputer riba bersaiz besar dan berkuasa ialah peranti-peranti tersebut biasanya terlalu besar dan berat untuk dibawa kemana-mana.
Illegear, jenama pembina peranti gaming tempatan hari ini memperkenalkan komputer riba terbaru mereka yang dinamakan Illegear Selenite, komputer riba gaming terbesar mereka setakat ini.
Illegear Selenite hadir dengan paparan skrin bersaiz 17.3 inci yang hadir dengan resolusi Full HD (1920×1080) yang turut hadir dengan kadar segar semula 144Hz dan mempunyai bezel nipis melalui teknologi paparan yang dinamakan Infinivision. Dalam pada itu, ia turut menyokong gamut warna sRGB sehingga 100 peratus, membuatkannya bagus digunakan bukan sahaja untuk tujuan gaming, tetapi juga rekaan.
Spesifikasi dalaman laptop ini juga cukup berkuasa. Illegear Selenite ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i9-8950HK ataupun Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 8GB, dan gabungan storan SSD sebesar 240GB dan cakera keras sebesar 1TB.
Dari segi grafik pula, komputer riba Illegear Selenite ini dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6G yang cukup berkuasa untuk menggerakkan semua permainan komputer hari ini pada resolusi Full HD tanpa sebarang masalah.
Apa yang lebih menarik mengenai laptop ini ialah ia mempunyai ketebalan 25mm sahaja dan hanya seberat 2.25kg di dalam rekaan kerangka laptop bersaiz 15.6 inci.
Anda turut boleh mengubahsuai spesifikasi laptop ini lagi di laman web Illegear, tetapi jika anda hanya ingin membeli laptop ini secara terus, ia kini hadir di laman web Illegear juga. Menurut mereka, laptop ini boleh dibeli pada harga RM9098 untuk model dengan CPU Intel Core i9 dan RM7099 untuk model yang dilengkapi dengan CPU Intel Core i7.