Bersama-sama pengenalan Huawei Mate 20, pengeluar terkemuka dari China ini turut telah memperkenalkan model premium mereka tersendiri, iaitu Huawei Mate 20 Pro.
Huawei Mate 20 Pro hadir dengan skrin 6.39-inci OLED dengan rekaan bertakuk, dijana cip Kirin 980, memori 6GB RAM dan storan 128GB. Pengguna turut boleh memperluaskan ruangan storan menggunakan kad nano-SD. Huawei turut menyertakan sokongan pengimbas cap jari pada skrin di Huawei Mate 20 Pro ini.
Telefon pintar ini turut hadir dengan sokongan tri-kamera belakang, mengabungkan lensa 40-megapixel rakaman luas, kamera 20-megapixel ultra-luas, dan 8-megapixel telefoto. Ia masih mengekalkan penjenamaan Leica seperti sebelum ini.
Huawei menekankan yang mana bukan sahaja rakaman gambar cantik, tetapi kini mereka menambah-baik hasil rakaman video dengan bantuan AI.
Untuk rakaman swafoto, Huawei menyertakan kamera 24-megapixel, yang mana turut dilengkapkan dengan pengimbas wajah 3D.
Pada bahagian bateri, Huawei turut membawakan inovasi, dimana bateri berkapasiti 4200mAh boleh dicas dengan pantas melalui pengecas 40W. Huawei mengatakan ia boleh dicas sehingga 70% dalam masa sekitar 30 minit sahaja. Melengkapkan peranti ini juga adalah sokongan pengecas nirwayar.
Menariknya, Huawei turut menyertakan sokongan Wireless Reverse Charging, dimana pengguna boleh berkongsi tenaga pada peranti mereka secara nirwayar bersama peranti lain.
Ciri menarik lain yang disertakan pada telefon pintar ini juga adalah sokongan kalis air IP68, sokongan speaker stereo, dan dilengkapi sokongan USB-C untuk audio.
Buat masa ini, ia masih belum diketahui bilakah Huawei Mate 20 Pro akan dilancarkan untuk pasaran tempatan.