Apple sedia merekabentuk cip untuk telefon pintar, selain baru-baru ini telah mengambil-alih sebahagian daripada pasukan Dialog Semiconductor. Kini, selari dengannya, laporan baru hadir daripada penganalisa popular Ming-Chi Kuo, mengatakan Apple mungkin menggunakan cip tersendiri rekaan mereka pada komputer Mac seawal 2020 atau 2021 kelak.
Dengan langkah ini, ia juga mungkin memperlihatkan Apple beralih daripada penggunaan cip Intel kepada cip mereka tersendiri – mungkin berasaskan ARM. Ini juga akan membantu Apple untuk mengeluarkan kemaskini komputer mengikut latar masa mereka tersendiri tanpa perlu terikat dengan latar masa pengeluaran cip dari Intel.
Seperti biasa, sekiranya laporan baru ini benar, maka ia akan mengambil sedikit masa untuk pembangunan cip berkenaan mencapai prestasi seumpama yang ditawarkan Intel.
Apa pun, sama-sama kita nantikan perkembangan sihat ini, dan melihat apakah reaksi pihak Intel – dan adakah pengeluar komputer lain turut akan mengikut jejak langkah yang sama, seperti mana dilakukan Huawei, Samsung dan Xiaomi dengan mengeluarkan cip tersendiri untuk telefon pintar mereka.