Cari @ Amanz

Kebelakangan ini, kamera nircermin boleh dikatakan pantas memintas kamera-kamera DSLR sebagai pilihan ramai untuk digunakan sebagai kamera utama mereka. Kini, kamera nircermin yang hadir dengan kebolehan rakaman video resolusi tinggi juga pesat hadir di pasaran, dan diantaranya ialah Fujifilm, dengan kamera nircermin terbaru mereka, Fujifilm XT-3.

Kamera Fujifilm XT-3 ialah pengganti kepada kamera nircermin Fujifilm sebelum ini, Fujifilm XT-2. Dari segi spesifikasi, kamera ini dilengkapi dengan sensor X-Trans CMOS 4 yang mengambil gambar bersaiz 26MP bersama-sama dengan  cip pemproses imej X-Processor 4 yang mampu mengambil gambar dengan warna yang jitu, walaupun di dalam situasi dimana cahaya tidak begitu terang.

Sama seperti kamera siri XT sebelum ini, kamera XT-3 ini mempunyai kerangka yang tahan cuaca, disamping hadir dengan butang dan dail yang diperbuat daripada bahan-bahan tahan lasak, sesuai sekali untuk mereka yang gemar mengambil gambar di dalam pelbagai jenis cuaca.

Dalam pada itu, kamera ini juga mempunyai paparan skrin LCD sesentuh yang digabungkan dengan sistem autofokus 425 titik yang juga boleh diubahsuai kedudukannya untuk memudahkan pengguna mengambil gambar pada pelbagai kedudukan.

Di dalam burst mode, kamera ini mampu mengambil sebanyak 30 gambar sesaat tanpa gambar gelap, yang kadang-kala berlaku kerana shutter yang buka dan tutup dengan laju. Bagi mereka yang juga inginkan sebuah kamera yang mampu merakam video pada resolusi 4K 60FPS.

Bagi mereka yang ingin mengambil gambar dan video yang banyak, ataupun ingin memastikan gambar-gambar mereka mempunyai sandaran data, kamera ini turut hadir dengan dua slot kad SD.

Menurut Fujifilm Malaysia, kamera Fujifilm XT-3 ini sudahpun tiba di pasaran tempatan, dan boleh dibeli di kedai atas talian seperti Lazada untuk RM7388 untuk badan kamera sahaja. Jika anda ingin membeli set kamera bersama-sama lensa, Fujifilm turut menawarkan set bersama-sama dengan lensa 18-55mm untuk RM8688.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd