Proton X70 merupakan salah satu kereta terbaru daripada Proton yang telah pun dibuka pra-tempahannya. Ia menyertakan sejumlah ciri-ciri menarik, termasuk salah satunya adalah kebolehan untuk mengawal kenderaan berkenaan menggunakan aplikasi khusus.
Melalui aplikasi berkenaan, pengguna boleh menyemak keadaan semasa kereta mereka, dan turut melakukan beberapa kawalan. Antara yang boleh dilakukan menggunakan aplikasi tersebut selain menyemak status kenderaan adalah termasuk untuk membuka bonet belakang, menutup tingkap, selain membunyikan hon.
Selain mengawal beberapa perkara, pengguna juga turut boleh membuat semakan tahap minyak, jarak pemanduan, kelajuan purata yang dipandu, lokasi semasa kenderaan dan sebagainya.
Menariknya juga, Proton X70 dilengkapi dengan sokongan e-SIM yang disediakan oleh Celcom. Data internet daripadanya turut boleh digunakan untuk menggunakan aplikasi Baidu Map pada sistem inforia, selain memainkan lagu daripada aplikasi Unlimited Music yang disediakan Tencent.
Pengenalan ciri-ciri ini sekaligus menjadikan Proton X70 antara kenderaan tempatan menarik yang hadir dengan sokongan kawalan menggunakan aplikasi, sekaligus memudahkan pengguna untuk mengawalnya dengan mudah walaupun pada jarak jauh.