Carian
Penyelidik MIT Menunjukkan Cara Terbaru Untuk Mengekang Serangan Komputer Berasaskan Spectre Dan Meltdown
October 19, 2018 Nazrin

Intel, Microsoft dan pelbagai syarikat IT lain masih sedang berusaha keras untuk memperbaiki kelemahan CPU Spectre dan Meltdown yang membolehkan penggodam komputer untuk menyerang sistem-sistem IT melalui kelemahan CPU.

Walaupun pelbagai kemaskini ini banyak membantu menutup kelemahan tersebut, salah satu daripada masalah kemaskini tersebut ialah CPU-CPU ini akan mengalami penurunan prestasi yang cukup ketara.

Baru-baru ini, pihak penyelidik daripada Massachusetts Institute of Technology dikatakan telah hadir dengan cara mereka tersendiri untuk membendung masalah kerentanan tersebut, yang dinamakan Dynamically Allocated Way Guard, ataupun DAWG.

Teknik ini hampir sama seperti Cache Allocation Technology (CAT) yang digunakan oleh Intel, tetapi perbezaannya ialah setiap cache memori di dalam CPU tersebut akan dihalang daripada melihat apa-apa pun yang akan dilakukan oleh cache yang lain.

Menggunakan analogi tukang masak di dalam dapur, ia adalah seperti meletak penghadang untuk setiap tukang masak supaya mereka tidak dapat melihat apa tukang masak lain sedang masak dan juga peralatan yang digunakan untuk memasak.

Berbeza dengan teknologi CAT yang digunakan Intel, dimana “tukang masak” tersebut masih dapat melihat peralatan yang digunakan untuk memasak untuk meneka apa yang sedang dimasak.

Penyelidik-penyelidik MIT ini turut berharap bahawa Intel dan syarikat-syarikat yang sedang mengemaskini kerentanan Meltdown dan Spectre ini akan menggunakan teknologi mereka tidak lama lagi.

Komen